loading...

Kerajaan Sarawak Akan Bantu Bebas Mangsa Culik – Adenan

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan melakukan apa sahaja untuk membantu pembebasan empat warga Malaysia yang diculik di perairan Pulau Ligitan, Sabah pada 1 April lalu.

 

“Sudah pasti kita akan (membantu) membebaskan mereka,” kata Adenan ketika ditanya pemberita sekiranya kerajaan negeri akan membantu pembebasan empat mangsa culik itu.

 

Mengenai dakwaan tiada sebarang reaksi balas daripada kerajaan mengenai nasib tebusan, Adenan berkata kerajaan bersimpati dengan semua keluarga mangsa culik itu.

 

“Perkara ini melibatkan Kementerian Luar tetapi sudah semestinya kami bersimpati dengan keluarga mangsa,” katanya.

 

Di Sibu, keluarga keempat-empat mangsa culik itu muncul dalam satu ceramah pembangkang dan Barisan Nasional pada hari pertama kempen bagi memohon pertolongan.

 

Calon dari kedua-dua parti terkejut apabila sekumpulan 10 individu tampil secara tiba-tiba.

 

Mereka adalah ahli keluarga adik beradik Wong Teck Pang, 31, dan Teck Chi, 29, sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34, (bukan ahli keluarga).

 

Empat lelaki yang berasal dari Sarawak itu diculik dari kapal ‘Masfive 6’ yang dalam perjalanan pulang ke Malaysia setelah selesai membawa kayu balak ke Manila oleh sekumpulan lelaki bersenjata Filipina.

 

Kumpulan tersebut memberi tempoh masa sehingga 30 April untuk pembayaran wang tebusan.

 

Jika tuntutan itu gagal dipenuhi maka semua mangsa akan dipenggal. – mstar

Previous
Next Post »
loading...