loading...

Parti Politik Jangan Rumitkan Usaha Selamat Mangsa Culik – KPN

PETALING JAYA – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta parti politik agar tidak memainkan kes penculikan di Sabah sebagai bahan kempen pilihan raya negeri Sarawak.

 

Beliau berkata ia bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah berbangkit malah merumitkan usaha menyelamat mangsa culik.

 

“Kita boleh faham perasaan yang dihadapi oleh ahli keluarga mereka yang berada dalam tahanan pihak penculik. Jangan gunakan isu ini untuk menyusahkan pihak kami (polis).

 

“Saya nasihatkan mana-mana parti politik agar jangan menyukarkan usaha kami dengan membawa keluarga mangsa ke atas pentas untuk berkempen bagi pihak mereka … tidak menyelesaikan masalah, malah merumitkan keadaan untuk selamatkan mangsa-mangsa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

 

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin parti politik yang berkempen dan memberi bantuan kewangan kepada keluarga mangsa culik untuk menebus anggota keluarga mereka yang diculik.

 

Khalid berkata parti politik berkenaan sepatutnya memberi penjelasan kepada keluarga mangsa bahawa pihak berkuasa telah mengambil semua langkah sewajarnya untuk membebaskan mangsa.

 

Mengenai kes berkenaan, beliau semalam memaklumkan bahawa pihaknya mendapat maklum balas positif dari pihak keselamatan Filipina mengenai usaha menyelamat empat rakyat Malaysia yang diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, Sabah pada 1 April lalu. – BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...