loading...

Poster Calon PAS, BN Dirosakkan Di Hari Ketiga Kempen PRN Sarawak

MIRI – Semalam masuk hari ketiga kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 beberapa insiden vandalisme merosakkan bahan kempen clon yang bertanding dilaporkan berlaku di Batu Kawah, Lambir dan Kakus.

 

Memetik laporan FMT, papan iklan calon PAS bagi N.60 DUN Kakus, Clement Bayang telah dirosakkan, manakala sepanduk markas operasi PAS di N.72 DUN Lambir pula dibakar pihak tidak bertanggungjawab.

 

Menurut Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili yang mengesahkan kejadian itu memberitahu pihaknya mengetahui pihak yang melakukan kerosakan tersebut namun enggan menamakannya.

 

“Kita tak mahu menuduh sesiapa. Setakat ini suasana keseluruhannya terkawal dan saya rasa ini hanya kes terpencil,” katanya dipetik dari laporan yang sama.

 

Di Kakus dan Lambir, calon PAS berdepan cabaran empat penjuru membabitkan calon BN, PKR dan calon DNP, manakala di Lambir yang turut menyaksikan pertembungan empat penjuru, PAS berhadapan BN, PKR dan seorang calon Bebas.

 

Mengulas lanjut perkembangan tersebut, Mukhtar memberitahu PAS telah mengeluarkan arahan supaya pekerja parti, ahli dan penyokongnya sentiasa berdisplin sepanjang tempoh berkempen.

 

“PAS Sarawak juga menyeru agar semua pihak mengekalkan suasana damai sepanjang tempoh berkempen. Insiden di mana sepanduk PAS Sarawak dibakar di Lambir, papan iklan calon PAS di Kakus dikoyakkan dan lain-lain tidak sewajarnya berlaku,” kata Mukhtar.

 

Dalam perkembangan berkaitan, SUPP yang bertanding mewakili BN di N.14 Batu Kawah membuat laporan polis selepas dua iklan kempennya di kawasan tersebut dirosakkan dan dibakar pihak tertentu.

 

“Sebuah papan iklan dikoyak dan dibakar, sebuah lagi dibakar cat. Ini satu lagi contoh politik kebencian dan ketakutan yang dibawa ‘kem musuh’,” kata Presiden SUPP, Dr Sin Kui Hian yang juga calon di kerusi tersebut.

 

Dr Sin berdepan cabaran tiga penjuru di Batu Kawah berdepan dengan calon DAP dan seorang calon Bebas.

Previous
Next Post »
loading...