KUALA LUMPUR – PerdanaMenteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penurunan harga barang yang bakal dilaksanakan di pasar harian dan pasar-pasar minggu.
Beliau berkata, penurunan harga barangan mentah itu akan lebih rendah berbanding harga pasaran dimana ia bermula di sekitar Putrajaya.
“Kita akan mulakan penurunan harga barangan mentah seperti daging dan sayuran ini di pasar minggu di sekitar Putrajaya.
“Pengguna akan nikmati harga yang lebih rendah daripada harga pasaran,”katanya pada pelancaran Anugerah Rumah Harga Patut 2016, disini, tengahari tadi.
Beliau berkata demikian sejurus selepas mengupas isu kerajaan dipersalahkan disebabkan harga barangan naik sedangkan ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh sebahagian peniaga.
“Bila barang naik kerajaan dipersalahkan. Bila harga minyak naik kerajaan dipersalahkan. Bila minyak turun mereka tak kata apa -apa. Ini saya nampak tak adil dalam hal ini,”katanya.
Katanya, tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan supaya tiada sesiapa menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.
“Langkah diambil supaya dikenakan penalti dan hukuman penjara akan dikenakan kepada peniaga yang ingkar dan mengambil kesempatan, kerana jika kita tidak mengambil tindakan kerajaan dipersalahkan,”katanya.
Selain itu, beliau berkata kerajaan turut menggalakkan penurunan harga, bagi sebahagian pasaraya dimana kebanyakan daripada mereka mengambil bahagian dalam galakan tersebut.
Sementara itu, Najib berkata, dalam pengubahsuaian bajet 2016 disarankan jumlah kedai harga patut ditingkatkan.
“Hari ini sebanyak 1,238 buah kedai harga patut diluluskan dimana KPDNKK melepasi sasaran penambahbaikan bajet tersebut.
“Saya juga telah menyarankan supaya logo diletakkan dihadapan kedai harga patut ini supaya pengguna faham dan dapat memilih kedai tersebut dengan kualiti yang bermutu dan harga berpatutan,”katanya-SuaraTV
Laporan video menyusul