PUTRAJAYA – Parti AMANAH menggesa Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mendedahkan sumber tajaan RM1.4 juta yang diberikan kepada 191 Ketua UMNO Bahagian dan EXCO UMNO untuk mengerjakan umrah.
Ketua Pemuda AMANAH, Sany Hamzan berkata, pendedahan itu penting bagi membuktikan tidak ada penyelewengan yang berlaku lebih-lebih lagi Khairy adalah seorang menteri yang mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti kepada negara dan umum.
“Khairy Jamaludin perlu mendedahkan sumber tajaan tersebut sama ada ia daripada pendapatan beliau sebagai menteri atau sumbangan mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa kepentingan bagi menjamin integriti dan ketelusan pentadbiran negara.
“Ini adalah penting memandangkan jumlah yang terlibat itu adalah satu jumlah yang besar serta Khairy Jamaludin pula boleh dianggap mempunyai kepentingan dengan penerima tajaan berdasarkan kepada status beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan salah seorang anggota jemaah menteri Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.
Sany berkata demikian mengulas mengenai dakwaan EXCO Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin yang mengakui Khairy telah menaja rombongan ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian untuk mengerjakan umrah di tanah suci.
Dalam pada itu, Sany turut menggesa SPRM menjalankan sisatan terhadap Khairy berhubung tajaan umrah itu.
“Saya membuat laporan ini bagi menggesa satu siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan segera oleh pihak SPRM untuk menyiasat sumber dan tujuan tajaan ini,” ujarnya.