KUALA LUMPUR – Seorang pengundi Parlimen Pandan, memaki Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dengan perkataan kesat apabila wakil rakyat itu tidak menjawab persoalan yang dikemukakan.
Menerusi aplikasi WhatsApp kumpulan yang menggunakan akaun Pandan itu, seorang daripada pengundinya tidak berpuas hati apabila harga barang tidak diturunkan selepas penurunan harga minyak telah dibuat.
Menerusi tetapan skrin yang dikongsikan, seorang daripada kumpulan pengundi tersebut hanya bertanyakan mengenai harga minyak yang telah diturunkan tetapi harga barangan masih kekal.
“YB, harga minyak kita dah turun. Tapi harga barang tak turun, apa cerita?,”katanya.
Rafizi kemudiannya menjawab perkara tersebut tiada kaitan dengan beliau.
“Itu bukan masalah saya,”katanya ringkas menjawab persoalan yang dikemukakan.
Tidak berhenti di situ, pengundi (menggunakan nama akaun Uncle Selamat) yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, terus sahaja memaki Rafizi dengan perkataan “lancaulah sotong,”.
Bagaimanapun, Rafizi tidak menjawab dan akibat tidak mahu perkara tersebut berpanjangan, Rafizi akhirnya keluar daripada kumpulan tersebut.
Tinjauan SuaraTV mendapati, sumber yang mengirimkan tetapan skrin tersebut tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan wakil rakyat tersebut.
Katanya, sebagai wakil rakyat di kawasan itu, Rafizi tidak boleh melepaskan tanggungjawab daripada permasalahan tersebut.
Sementara itu, SuaraTV cuba mendapatkan reaksi daripada Rafizi bagaimanapun, ahli parlimen itu tidak dapat dihubungi.
Terdahulu, Rafizi pernah menjadi mangsa buruan pelanggan khidmat seks, apabila nombornya pernah disebarkan sebagai gadis pelayan yang bernama ‘Rara’.-SuaraTV.