KAPIT – Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi meninjau perkembangan projek pembinaan Jabatan Sungai Yong yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Pekan Kapit.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 15 minit di tapak projek berkenaan dan mengikuti taklimat berkaitan sebelum bersarapan bersama penduduk setempat.
Mengiringi Najib ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi serta Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing.
Pengurus Wilayah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, John Aten, berkata laluan penghubung Kapit-Song-Kanowit sepanjang 81.9 kilometer kini 55 peratus siap, malah mendahului jadual asal sepatutnya siap.
Daripada jumlah keseluruhan jarak itu, katanya, sepanjang 34.1 kilometer disiapkan setakat ini.
“Baki 35.7 kilometer lagi kini dalam pembinaan manakala projek di Seksyen B dari Nanga Ngemah ke Nanga Temalat sepanjang 15.9 kilometer kini dalam proses tender,” katanya ketika ditemui di tapak projek.
Projek jalan raya yang bakal menghubungkan Kapit-Song-Kanowit dibina bagi menghubungkan bandar Kapit dengan kawasan lain di Sarawak.
Pembinaan jalan ini akan membolehkan penduduk di Kapit menggunakan kenderaan darat keluar masuk ke kawasan ini berbanding hanya bergantung kepada pengangkutan seperti bot ekspres, sebelum ini.
Malah, pembinaan jalan raya itu, yang diberikan keutamaan oleh Perdana Menteri, juga dijangka meningkatkan sosioekonomi penduduk di rumah panjang yang terletak di sepanjang laluan berkenaan. – BHarian