loading...

Dalai Lama ‘Mainkan’ Agama Buddha, Kata China

BEIJING — Pemimpin tertinggi agama di Tibet, Dalai Lama “mempermainkan” agama Buddha di negara itu apabila mencadangkan beliau mungkin tidak akan dilahirkan semula, atau dilahirkan semula sebagai dalam bentuk yang tidak sesuai, kata pegawai kerajaan China.

 

Pengerusi jawatankuasa hal ehwal agama dan etnik China, Zhu Weiqun dalam media rasmi China Global Times berkata, Dalai Lama perlu menghormati tradisi bersejarah dan keagamaan tentang kelahiran semula, lapor agensi Reuters.

 

“Dalai Lama sering mengisytiharkan kelahiran semula dirinya sebagai sesuatu yang suci’ dan hanya dia boleh memutuskan sesuatu, tetapi cara beliau itu langsung tidak mengagumkan penganut,” tulis Zhu.

 

“Dia sering mengatakan dirinya akan dilahirkan semula sebagai orang asing, lebah, ‘gadis berambut perang yang nakal’, malah mencadangkan dilahirkan semula semasa masih dalam hayat dan tamatnya kelahiran semula.

 

“Semua ini bukan sahaja mempermainkan pengikut Buddha Tibet, namun sama sekali tidak membantu untuk melepaskannya daripada kesukaran dilahirkan semula,” katanya yang sebelum ini gagal dalam usaha bersama kerajaan China untuk berbincang dengan wakil Dalai Lama.

 

Dalam fahaman Buddha Tibet, roh seorang “lama” — atau guru kerohanian terhormat — akan dilahirkan semula selepas kematiannya dalam badan seorang bayi.

 

China mahukan tradisi ini berterusan, mendakwa bahawa kerajaan China, walaupun umumnya para ateis, layak melantik pengganti Dalai Lama menerusi satu hak yang diwarisi daripada zaman maharaja Cina dahulu.

 

Pemenang Anugerah Nobel itu bagaimanapun membimbangkan China kerana beliau mencadangkan bahawa roh beliau mungkin tidak akan dilahirkan semula, lalu berkemungkinan menafikan rancangan China.

 

Menurut China, Dalai Lama merupakan seorang pejuang pemisah ganas yang melarikan diri ke India selepas gagal menumbangkan kerajaan China pada 1959. Dalai Lama menafikan dakwaan tersebut, mendakwa cuma mahu kuasa autonomi tulen di Tibet.

 

Penganut di Tibet risau akan tindakan China, kerana republik itu dahulunya pernah menawan seorang budak lelaki yang didakwa kelahiran semula Panchen Lama, pemimpin nombor dua Buddha Tibet, lalu menggantikannya. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...