loading...

Kerajaan Ingin Batal Projek Dengan China – Tun M

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia ingin membatalkan projek infrastruktur disokong China bernilai berbilion ringgit yang dimeterai kerajaan terdahulu dalam usaha kerajaan membebaskan negara daripada hutang.

Perdana Menteri berkata, Malaysia bagaimanapun akan terus mengekalkan hubungan baik dengan republik itu dan mengalu-alukan sebarang pelaburan yang menguntungkan negara.

Beliau juga terpaksa mengambil pendirian sukar berhubung projek saluran paip tenaga dan rel sepanjang laluan pantai timur Semenanjung Malaysia hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berdepan dakwaan penyalahgunaan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita tidak perlu meneruskan dua projek terbabit. Kita tidak fikir projek itu berdaya maju. Kalau boleh kita hendak gugurkan saja projek itu,” katanya dalam temubual bersama agensi berita The Associated Press (AP) di pejabatnya di sini.

Dr Mahathir akan mengadakan lawatan pertamanya ke Beijing Jumaat ini selepas kembali menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri sejak 10 Mei lalu.

Ketika menjawat jawatan Perdana Menteri, Najib menjalinkan hubungan yang erat antara Malaysia dan China dan ia dilihat sebagai peranan utama dalam inisiatif perdagangan global ‘One Belt, One Road’ di negara pelbagai etnik Asia Tenggara.

Bekas perdana menteri itu memeterai persetujuan untuk membina Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 688 kilometer dan dua saluran paip gas pada 2016.

Kerajaan pimpinan Dr Mahathir sebelum ini mengarahkan pelaksanaan kedua-dua projek terbabit digantung selain membuat potongan drastik terhadap kos yang dianggarkan bernilai AS$22 bilion (RM90 bilion) yang mana sebahagian pembayarannya sudah dibuat dan sukar dikembalikan.

Dr Mahathir berkata, jika projek terbabit tidak boleh dibatalkan, Malaysia perlu menggantung pelaksanaannya sehingga terdapat keperluan untuk meneruskannya.

Beliau turut menggesa China supaya menghormati laluan kapal di Laut China Selatan yang menjadi tuntutan beberapa negara Asia Tenggara dan republik itu terutama membabitkan pulau dan terumbu karang.

China sebelum ini menuntut Laut China Selatan sebagai miliknya dan membina beberapa pulau buatan di perairan berkenaan yang lengkap dengan landasan pesawat, hangar, radar dan pangkalan peluru berpandu untuk mengukuhkan lagi tuntutannya.

Republik itu turut menuduh Amerika Syarikat (AS) campur tangan di perairan berkenaan apabila sering menghantar pesawat pengangkut dan kapal perangnya di situ.

Dr Mahathir sekali lagi mengulangi amarannya supaya menghentikan sebarang aktiviti ketenteraan dengan tidak menempatkan kapal perang di perairan berkenaan.

“Kita semua mahu kapal atau kapal perang melalui perairan itu tetapi bukan menempatkannya di situ. Ini amaran kepada semua. Jangan sesekali mencetuskan ketegangan yang tidak diperlukan,” katanya.

Mengulas mengenai Myanmar, Dr Mahathir berkata beliau kecewa dengan pemimpin negara itu, Aun San Suu Kyiyang disifatkan gagal menghentikan penindasan terhadap masyarakat Rohingya.

“Ia sangat tidak adil untuk melakukan apa yang mereka lakukan, membunuh orang, melakukan pembunuhan beramai-ramai, itu bukan cara negara yang bertamadun.

“Jelas sekali beliau (Suu Kyi) bersama kerajaan yang memerintah dan bagaimana mereka memperlakukan terhadap etnik Rohingya. Ini adalah soal keadilan dan hak kemanusiaan. Anda tidak boleh berbuat demikian,” katanya.

Katanya, Malaysia akan berhenti mengambil lebih ramai pelarian Rohingya kerana sudah terlalu ramai warga asing yang sah dan tidak sah berada di negara ini.

Ditanya mengenai kenyataannya yang disifatkan sebagai anti semitik berhubung isu Palestin, Dr Mahathir berkata semua pihak boleh mengkritik sesiapa saja.

“Anti semitik dicipta untuk menghalang orang daripada mengkritik golongan Yahudi yang melakukan kesalahan,” katanya.

Presiden AS, Donald Trump turut terkena tempias kritikan Dr Mahathir terhadap pemimpin Barat apabila disifatkan sebagai individu tidak menentu.

“Setakat ini, beliau tidak menunjukkan sebagai tanda bahawa saya perlu mengubah pandangan saya. Beliau mudah mengubah fikirannya dalam tempoh 24 jam. Sukar berurusan dengan orang yang fikirannya berubah-ubah,” katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelaburan dari AS terutama membabitkan sektor teknologi selain menjanjikan pengecualian cukai dan insentif lain.

Previous
Next Post »
loading...