Isu tunggakan gaji pemain Melaka United sedikit sebanyak menambah kontroversi dalam Piala Malaysia musim ini. Dalam media masa diberitakan pemain Melaka United mengalami masalah tunggakan gaji sehingga dua bulan iaitu bulan Jun dan Julai 2018.
Ia juga termasuk gaji pihak jurulatih akibat masalah kewangan MUSA. Mengambil tanggungjawab itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) Adly Zahari yang juga Ketua Menteri Melaka memberi jaminan untuk menyelesaikan isu gaji tertunggak pemain dan jurulatih dalam tempoh sebulan.
Menurutnya, pihak pengurusan telah melakukan perbincangan dengan pemain dan jurulatih bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Kita akan sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan pemain dan saya yakin bahawa perkara ini akan dapat diselesaikan dalam masa sebulan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Tahunan MUSA kali ke-63 di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut timbalan MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
– BERNAMA
Ligakampung.com mengharapkan isu tunggakan gaji ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Dalam ketika era professional, persatuan bola sepak masih tidak memahami tentang kepentingan penyediaan bajet tahunan sebelum musim bermula.
Bukan sahaja pasukan Melaka United tetapi pasukan lain juga perlu mengambil perhatian tentang isu ini. Ligakampung.com berharap agar ada satu badan induk untuk melakukan audit bagi persatuan-persatuan bola sepak di Malaysia ini.
Memalukan jika masih terdapat isu sebegini berlaku pada pasukan bola sepak di Malaysia.