Rasanya ini bukan kali pertama Azizulhasni meluahkan kekecewaannya terhadap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Jamal rasa sebelum ni pun ada juga komen yang dinyatakan melalui media sosial oleh pelumba berbasikal terhebat Malaysi ni.
The Pocket Rocketman agak kecewa selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abdul Wahab selepas membuat kenyataan dalam sebuah akhbar dengan tajuk ‘Azizulhasni sukar ke Sukan Olimpik 2020’ dan ‘Misi Selamatkan Azizul’.
Azizul yang ditemuramah selepas perhimpunan persediaan ke Sukan Asia meluahkan perasaan kecewanya terhadap kenyataan pemimpin tertinggi persatuan berbasikal itu yang disifatkan tidak professional dan salah fakta.
“Saya tidak marah tetapi terkilan apabila sebuah kenyataan akhbar dikeluarkan bukan sekali tetapi dua kali, laporan kedua selepas saya menghubungi Datuk Abu Samah sendiri. Terkilan sangat kerana kenyataan dikeluarkan salah.
“Presiden juga tidak pasti dengan Sistem Kelayakan Olimpik terkini. Jadi bagi saya sendiri, secara profesional, kalau kita tidak pasti dengan sesuatu perkara jangan buat sebarang kenyataan. Kita perlu pastikan fakta diberikan betul.
“Wartawan juga perlu pastikan maklumat ditulis betul. Impaknya kepada prestasi, karier serta kredibiliti saya. Penaja saya turut terkesan. Sebab itu saya tampil memberikan penjelasan, bukan kerana saya marah atau emosi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini pada Jumaat.
Azizul memuatnaik komennya dalam akaun Instagram untuk menjelaskan kesalahan fakta dalam laporan sebuah akhbar dengan tajuk “ENOUGH WITH THE NONSE” dengan kenyataan presiden yang tidak mengerti tentang Sistem Kelayakan Olimpik dan mempergunakan keadaan semasanya untuk mendapat penajaan.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, sedangkan saya ada dua minggu lagi sebelum ke Sukan Asia, keluar pula cerita yang salah.
“Sepatutnya persatuan menyokong serta memahami atlet mereka. Ketika ini kami perlu memberikan fokus seratus peratus kepada persediaan mental dan fizikal, waktu ini amat kritikal dan atlet perlu berada dalam kondisi terbaik,” jelas Azizulhasni. – Bernama
Sumber:-MStar
Ligakampung.com juga merasakan kenyataan tersebut tidak patut dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi tanpa merujuk kepada empunya diri. Harap-harap ia tidak menjejaskan semangat Azizul dan rakan-rakannya.