loading...

Ahmad Nizam Dilantik Pengerusi PETRONAS

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Nizam Salleh sebagai Pengerusi baharu PETRONAS berkuat kuasa serta merta.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Ahmad Nizam berpengalaman di dalam industri minyak dan gas selama 37 tahun.

Beliau pernah berkhidmat dan menyandang pelbagai jawatan sepanjang kerjayanya di dalam PETRONAS.

“Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin kekal sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan,” kata kenyataan itu.

Pelantikan Ahmad Nizam sekali gus menamatkan spekulasi pengganti Tan Sri Sidek Hassan yang tamat kontrak sebagai Pengerusi pada 30 Jun lalu.

Sebelum dilantik Pengerusi PETRONAS, Ahmad Nizam menyandang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan Bahagian Perbendaharaan PETRONAS. Sebelum itu, beliau juga pernah dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia LNG Sdn Bhd.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia LNG Dua Sdn Bhd dan Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd dari Julai 2004 hingga Oktober 2007.

Ahmad Nizam menyertai PETRONAS pada 1981 dengan memegang pelbagai jawatan sebagai Penganalisis, Perancang dan Penyelaras Projek dalam sektor Perancangan Korporat dan Kewangan di Pejabat Ketua Korporat PETRONAS sehingga 1987.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Bintulu Port Holdings Bhd dari April 2009 hingga 26 Ogos 2010 dan juga sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif MISC Bhd dari 9 Januari 2008 hingga 8 Julai 2010.

Ahmad Nizam memegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Ohio dan Universiti Pennsylvania.

Previous
Next Post »
loading...