KUALA TERENGGANU – Pas menyifatkan perhimpunan haram Bersih 5.0 tidak membawa sebarang unsur keamanan untuk rakyat seiring dengan matlamat sebenar demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rakyat juga tidak meraih sebarang keuntungan dan itulah alasannya kenapa Pas tetap dengan pendirian untuk terus menjauhi demonstrasi berkenaan.
Sehubungan itu juga beliau mengucapkan terima kasih dan bersyukur di atas kepatuhan ahli serta penyokongnya dengan tidak menyertai perhimpunan yang berlangsung di ibu negara, Sabtu lalu.
“Alhamdulillah ahli dan penyokong patuh pada arahan, kerana kita melihat di sana tidak ada satu kawalan yang baik untuk mematuhi ketenteraman awam.
“Kita tidak mahu berlaku pertembungan yang merugikan rakyat. Ini sangat penting dan perlu diawasi,” katanya kepada pemberita semasa sesi rehat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Katanya, penolakan itu selaras dengan pendirian muktamad parti sebagaimana yang diputuskan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan pada 2 Oktober lalu.
Tegasnya, walaupun keamanan merupakan hak semua tetapi aktiviti demonstrasi seumpama itu perlulah melalui proses demokrasi sebenar dengan adab yang baik.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pemimpin dan ahli yang dikenal pasti menyertai perhimpunan tersebut.
“Terpulanglah kepada jawatankuasa disiplin parti. Kita tidak boleh bertindak sekiranya tiada aduan,” katanya. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW