BEIJING – Gara-gara memakai cermin mata gelap dan memegang payung, seorang wartawan penyiaran di sebuah stesen televisyen tempatan di bandar Xiamen, wilayah Fujian digantung tugas.
Tindakan itu dikenakan susulan gambarnya menemu bual sukarelawan Taufan Meranti dengan menjadi viral di internet.
Stesen televisyen berkenaan dalam satu kenyataan memberitahu, wartawan terbabit tidak mematuhi peraturan dan melakukan perbuatan salah laku semasa mengendalikan temu bual.
“Ini merosakkan imej wartawan dan menyebabkan kesan negatif,” jelas stesen tersebut.
Menurut laporan portal BBC, selepas gambar itu menjadi viral, banyak pihak menuduh wartawan tersebut tidak bersikap profesional.
Walau bagaimanapun terdapat juga pengguna internet yang mempersoalkan tindakan majikan wartawan itu.
Salah seorang pengguna laman web Weibo, Eclair, mempersoalkan sama ada tindakan stesen televisyen itu terpaksa dilakukan berikutan tekanan atau kemarahan orang ramai.
Seorang lagi pengguna Weibo berkata, masalah yang timbul ialah kerana wartawan berkenaan kurang adab dan tidak menghormati orang yang ditemu bual selain menggelar wanita itu sebagai ‘Pengawal Merah Moden’.
‘Pengawal Merah’ merupakan gelaran terhadap sekumpulan belia yang kejam yang berpegang kepada prinsip revolusi kebudayaan China.
Sementara itu, seorang wartawan wanita di sebuah stesen televisyen di Shanghai, Yijing Lin memberitahu BBC, reaksi orang ramai perlu difahami dalam konteks jangkaan penduduk China terhadap imej para wartawan.
“Saya tidak melihatnya sebagai stereotaip tetapi ini berlaku dan saya pernah melihat mereka yang bersemangat yang tidak peduli jika kaki mereka kotor,” ujarnya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW