MOSCOW – Kementerian Luar Rusia mendakwa hasil laporan pasukan penyiasat antarabangsa berhubung tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 adalah berat sebelah dan tidak adil.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova dalam kenyataannya hari ini mendakwa tidak ada perubahan dalam penyiasatan berhubung tragedi itu.
Katanya, hasil laporan siasatan yang didedahkan oleh Pejabat Pendakwa Raya Awam Belanda berhubung pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di timur Ukraine, mengesahkan mereka berat sebelah dan bermotifkan politik.
Tambahnya, pandangan peribadi suka menyalahkan dan berharap pendapat mereka diterima memang sudah menjadi amalan biasa pihak Barat.
“Saya ingin bertanya kepada Barat, sampai bila perkara ini harus berlarutan,” katanya.
Beliau berkata, sejak awal Rusia telah mencadangkan agar dapat bekerja bersama dan penyiasatan harus berpegang kepada fakta semata-mata, bagaimanapun penyiasat antarabangsa telah mengetepikan Rusia daripada mengambil bahagian penuh dalam siasatan berkenaan, sebaliknya hanya memberi peranan tidak penting dalam usaha itu.
“Ia kelihatan seperti satu jenaka buruk, tetapi sebaliknya mereka bersedia membawa masuk Ukraine sebagai anggota penuh dalam Pasukan Penyiasat Bersama (JIT), membenarkan mereka memalsukan bukti dan mengawal perkara itu mengikut kehendak mereka.
“Satu lagi perkara penting yang ingin saya nyatakan. Semua perkara yang menjadi bukti asas bagi kes itu (tragedi MH17) disalurkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Awam Belanda oleh Ukraine, pihak yang mempunyai kepentingan,” katanya.
Pasukan penyiasat juga katanya, terus mengabaikan bukti kukuh walaupun pada dasarnya Rusia adalah satu-satunya negara yang mempunyai dan menyediakan maklumat yang boleh dipercayai serta sentiasa mendedahkan maklumat-maklumat baharu.
“Kami berharap sekarang Rusia telah memindahkan bukti yang tidak dapat dipertikaikan kepada JIT seperti imej awal radar dan mana-mana pakar akan memahami kenapa (data radar) itu tidak boleh dipertikaikan.
“Malahan keadaan akan berubah dan rumusan JIT akan menjadi sebaliknya, tidak sama seperti hasil dalam laporan siasatan awal pasukan penyiasat dan akan mencerminkan kebenaran sebenar dan akan menghala kepada petualang-petualang sebenar dalam tragedi ini,” katanya. – AGENSI
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW