GEORGETOWN – Ramai pengguna menzahirkan rasa terkilan dengan perkhidmatan feri di negeri ini yang semakin mengecewakan sejak Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) mengurangkan perjalanannya mulai 1 Januari tahun ini.
Pengguna tetap pengangkutan itu merungut mengenai perkhidmatannya yang semakin teruk dan tanpa sebarang tanda untuk ditambah baik.
Ahmad Khairul Ismail, 49, berkata, beliau terpaksa menunggu lama untuk menaiki feri kerana pengangkutan itu semakin kurang hingga memberi kesulitan kepada penumpang sepertinya.
“Saya menggunakan feri sejak dulu lagi untuk berulang alik dari tanah besar ke pulau ini untuk bekerja. Tetapi, jika keadaan perkhidmatan seperti ini berterusan, banyak orang seperti saya akan menanggung kesusahan,” katanya, memetik laporan Bernama.
PPSB mengumumkan bahawa hanya tiga daripada empat feri akan beroperasi sebagai langkah penjimatan kos berikutan penurunan jumlah kenderaan yang menggunakan kaedah pengangkutan itu untuk berulang alik di antara tanah besar dan pulau.
Susulan pengurangan jumlah feri, jarak kekerapan bertambah sejam selepas pukul8.20 malam dengan feri pertama berlepas dari dok pada pukul 6.30 pagi dan yang terakhir, pukul1.30 malam dari pulau dan 11 malam dari tanah besar.
Ketika ini, PPSB memiliki konsesi untuk mengendalikan pelabuhan itu hingga 2023 di bawah perjanjian penswastaan dengan kerajaan Persekutuan.
Sebanyak 49 peratus saham PPSB telah dijual kepada MMC Corporation, sebuah kumpulan infrastruktur dan utiliti untuk menyelesaikan isu itu.
Pengambilalihan syarikat itu dijangka dimuktamadkan menjelang tahun depan.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW