JOHOR BAHRU – Juara bertahan Piala AFC, Johor Darul Ta’zim (JDT) memilih laluan sukar ke final apabila sekadar seri 1-1 dengan kelab India, Bengaluru FC pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Rabu malam.
Biarpun beraksi di hadapan 18,410 penyokong sendiri, skuad Mario Gomez itu ternyata gagal memperlihatkan taring sebenar apabila tiada penyudah cemerlang dihasilkan.
Bermula babak pertama, permainan dilihat sudah lebih didominasi pasukan lawan apabila gawang JDT hampir digegar seawal minit kelima menerusi tampanan pemain pertahanan Bengaluru, John Johnson.
Harimau Selatan juga dilihat seperti hilang punca apabila gagal berterusan menyaingi keampuhan jentera kelab India itu sepanjang tempoh 15 minit pertama.
Namun, kelemahan itu pantas diperbaiki apabila pemain sayap JDT, Azinee Taib cuba melancarkan serangan dengan memotong hantaran cuai pertahanan lawan pada minit ke-36, namun rembatannya ke arah pintu gol tersasar.
Memasuki babak kedua, JDT, bagaimanapun tidak menunggu lama untuk meledakkan gol pembukaan hasil tandukan Pereyra Diaz yang memanfaatkan sepakan sudut Safiq Rahim pada minit ke-52.
Akan tetapi, kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila pemain tengah Bengaluru, Eugene Lyngdoh berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi rembatan dari luar kotak penalti.
JDT akan bertemu Bengaluru untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium Sree Kantareeva, Bangalore, India, pada 19 Oktober ini. – mstar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW