loading...

PKR Sabah Muak Perbalahan Pimpinan PKR Pusat

KUALA LUMPUR – PKR Sabah menyatakan perasaan muaknya terhadap perbalahan pucuk pimpinan parti diperingkat pusat dan mahu perkara berkenaan segera dihentikan.

 

Ketua PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, tumpuan harus diberikan kepada agenda memenangi Pilihan Raya Umum akan datang termasuk menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri di Bawah Bayu berkenaan.

 

“Kami tiada pilihan selain menyokong institusi Presiden dan Timbalan Presiden. Tiada masalah dengan parti politik, mereka yang meneraju yang buat silap.

 

“Tolong jaga parti baik-baik. Saya sudah katakan apa yang saya mahukan untuk Sabah dalam mesyuarat kebangsaan, termasuk dalam (mesyuarat) mingguan biro politik yang saya hadiri,” katanya dalam ucapan Mesyuarat Agung Tahunan PKR di Kota Belud, semalam.

 

Beliau dalam pada itu turut menyatakan kekesalannya ekoran pandangannya untuk meneraju parti peringkat negeri tidak diiktiraf  sungguhpun telah dipersetujui Ketua De Facto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

 

Beliau turut berang apabila terdapat campurtangan pemimpin parti dari luar Sabah yang cuba menentukan hala tuju parti peringkat negeri.

 

“Malah terbaru, Timbalan Ketua Wanita (PKR) Kebangsaan hadir ke Sabah dan cuba memujuk agar sayap wanita negeri yang sudah dipilih dirombak. Wanita (PKR) disini sudah membuat keputusan siapa pemimpin mereka, maka mengapa perlu berbuat demikian.

 

“Tidak bolehkah kita tunggu pemilihan parti dan biar ahli memilih barisan pemimpin mereka sendiri?” soal veteran politik dari Beaufort itu.

 

Ujarnya lagi, sokongan orang Sabah tidak bermakna sekiranya pemimpin peringkat pusat sering mencampuri urusan PKR negeri yang jelas tidak mempunyai autonomi menentukan hala tuju sendiri.

 

“Bukan mudah menjaga parti di Sabah kerana tiada peruntukan dari pusat. Jika Pakatan Harapan tidak bekerjasama dengan parti setempat pada pilihan raya umum akan datang, maka kita harus lupakan sahaja untuk ke Putrajaya,” katanya sambil menambah jentera Pakatan Harapan tidak setanding dengan jentera Barisan Nasional yang serba lengkap. – Malaysian Digest



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...