KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan hari ini menjelaskan kenapa Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat tidak menyebut nama sebenar ‘Malaysian Official 1′ (MO1).
Merujuk kepada wawancara beliau dengan BBC, yang disiarkan dalam laman sesawang perbadanan penyiaran itu hari ini, beliau berkata adalah jelas apa yang disebut sebagai ‘MO1’ itu merujuk kepada Perdana Menteri Najib Razak.
“Banyak yang lain juga disebut oleh DOJ. Tetapi, jelas sekali, tidak seorang pun daripada mereka, termasuk MO1, dinamakan sebagai subjek penyiasatan.
“Seperti yang akan disahkan mana-mana peguam, perbezaan antara disebutkan nama sebagai subjek dalam saman sivil, dan sekadar dirujuk dalam sesuatu penyiasatan, adalah perkara hitam putih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Abdul Rahman, yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), setelah siasatan menyeluruh dilakukan pelbagai pihak berkuasa, perdana menteri disahkan tidak terlibat dengan sebarang salah laku.
“Maka, keterangan yang wujud adalah jelas dan perbuatan Dr Mahathir (bekas Perdana Menteri) untuk memberi gambaran buruk akan gagal sekali lagi, sama seperti cubaan beliau sebelum ini untuk menumbangkan kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokratik telah mengalami kegagalan teruk,” katanya.
Abdul Rahman berkata Dr Mahathir dan sekutu baharunya daripada pembangkang sengaja mencampuradukkan kedua-dua perkara itu untuk memperdaya rakyat Malaysia.
“Kegagalan bantahan yang dianjurkan proksi mereka untuk bertanya siapakah sebenarnya MO1, adalah tidak relevan kerana MO1 tidak dinamakan sebagai subjek dalam mana-mana saman sivil DOJ,” kata beliau.
Perhimpunan haram antikerajaan yang diadakan pada 27 Ogos di ibu negara berlangsung dalam keadaan tidak bermaya dan tidak mendapat sambutan baik.
Hanya 1,500 orang menyertainya, berbanding sasaran asal 10,000, yang kemudian dikurangkan kepada 5,000, tidak sampai 24 jam sebelum perhimpunan itu bermula. – Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW