KAPAR – Seorang pekerja pembersihan sampah terkejut selepas sebuah beg bagasi yang ditarik dari perangkap sampah berisi mayat seorang wanita dalam satu kejadian di Jalan Harper, Bandar Baru Klang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, pekerja lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun ketika itu sedang melakukan kerja pembersihan sebelum terlihat beg berkenaan terapung berdekatan dengan perangkap sampah terbabit.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, pekerja tersebut yang curiga telah mengangkat bagasi itu menggunakan jengkaut sebelum menemui mayat seorang wanita diikat dengan kain.
Katanya, mangsa dipercayai mati antara lima hingga 21 hari berdasarkan keadaan fizikal mayat yang sudah mereput dan membengkak.
“Mayat mangsa tanpa pakaian, diikat menggunakan kain selain kaki kanannya bersimen akibat patah pada buku lali. Kita juga tidak menemui sebarang dokumen lain pada mangsa.
“Hasil bedah siasat, mangsa seorang wanita rakyat tempatan dipercayai berusia lingkungan 30 tahun dengan tinggi kira-kira 157 sentimeter,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini hari ini. -Kosmo
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW