Presiden baharu kelab bola sepak Johor Darul Takzim (Johor DT), Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim menyeru penyokong kekal memberi kesetiaan kepada skuad Harimau Selatan.
“Anda tidak menang setiap masa. Menang atau kalah, anda (penyokong) perlu setia dan sokong pemain serta pasukan.
“Kadang-kadang saya perasan (sedar), bila menang semua gembira tapi bila kalah tiba-tiba ‘kosong’. Hilang, banyak orang hilang (tidak hadir ke stadium).
“Tidak boleh begitu, kesetiaan perlu ada,” kata Tunku Aminah ketika turun menemui para penyokong di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin semalam.
Hadir sama ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Kapten Mohd. Fahmy Yahya serta Pengarah Sukan Johor DT, Alistair Edwards.
Pelantikan Tunku Tun Aminah sebagai Presiden Johor DT diumumkan menerusi Johor Southern Tigers pada hujung bulan lalu.
Terdahulu, Tunku Puteri Johor itu terkejut, namun berbesar hati sejurus Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail mengumumkan pelantikannya sebagai presiden baharu Johor DT untuk mengetuai pengurusan pasukan.
“Saya amat berbesar hati dan teruja dengan pelantikan ini dan saya lihat kesungguhan Tunku Ismail yang begitu mahukan pembangunan bola sepak negeri Johor berada pada tahap terbaik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Tunku Tun Aminah juga akan memberi perhatian lebih kepada pembangunan akademi dan bola sepak pada pe–ringkat kanak-kanak.
Malah, Tunku Aminah juga akan mempertimbangkan cadangan penyokong Harimau Selatan untuk menubuhkan kelab bola sepak wanita Johor DT pada masa akan datang.
Diminta mengulas mengenai aksi Johor DT menentang Terengganu dalam saingan Liga Super, Tunku Tun Aminah yakin skuad Harimau Selatan akan memenangi perlawanan itu, sekali gus menjuarai Liga Super musim ini.-Kosmo
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW