MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merampas 2,000 kereta klon dalam tempoh 30 bulan sehingga pertengahan tahun ini hasil operasi penguatkuasaan bagi membendung kemasukan kenderaan terbabit ke negara ini.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron berkata, rampasan dilakukan dalam siri operasi bermula Januari 2014 hingga Jun lalu dan pihaknya memandang aktiviti menyeludup masuk kereta klon ke negara ini sebagai satu perkara serius.
Beliau berkata, JPJ juga sudah turut menubuhkan pasukan khas Januari lalu bagi mengesan kehadiran serta sindiket yang terbabit dalam aktiviti membawa masuk kenderaan klon kemudian digunakan di negara ini.
“Kemasukan kereta klon ini mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian dalam bentuk cukai yang tidak dibayar kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), manakala JPJ pula membabitkan cukai jalan.
“Sehingga kini Johor mencatatkan jumlah rampasan kereta klon tertinggi dengan 357 buah, diikuti Terengganu 272, Selangor 218 manakala Melaka 141, menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melakukan lawatan rasmi dan menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri Pengarah JPJ negeri Mohd Fadhil Hassan di Pejabat JPJ negeri, di Bukit Katil di sini, semalam.
Nadzri berkata, walaupun aktiviti itu didalangi sindiket tertentu, pihaknya turut memandang serius dakwaan pihak tertentu kononnya pembabitan orang dalam menyebabkan usaha membanteras penyeludupan kereta klon belum berjaya sepenuhnya.
“Kami tahu perkara ini dilakukan sindiket, namun turut melakukan siasatan bagi memastikan kesahihan dakwaan pihak berkenaan kononnya ada orang dalam terbabit sama,” katanya. – HMetro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW