loading...

Hapus Skim Pemberian Air Percuma Untuk Orang Kaya – Shahrum

Barisan Nasional (BN) Selangor menyifatkan skim pemberian air percuma yang diperuntukan kerajaan negeri sebanyak 20 meter padu kepada setiap pelanggan Syabas dianggap tidak munasabah.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Shariff berkata, ini kerana skim itu turut dinikmati oleh golongan kaya, sedangkan sebahagian daripada peruntukan berkenaan boleh digunakan untuk perkara berfaedah bagi orang miskin.

 

“Saya cadangkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) agar kaji semula skim ini. Pastikan peruntukan 20 meter padu air itu diberikan kepada pelanggan yang berpendapatan kecil atau dengan kata lain, orang miskin.

 

“Tidak munasabah orang kaya juga mendapat bantuan bekalan air dari skim ini, sedangkan mereka mampu membayarnya,” katanya pada sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ketiga Belas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, hari ini.

 

Menurut Shahrum, sebanyak RM11 juta sebulan atau kira-kira RM150 juta setahun yang diperuntukan kerajaan negeri bagi skim pemberian air percuma sebenarnya boleh diagihkan secara telus kepada golongan miskin.

 

Bagaimanapun, ujar beliau, masih ada keluarga miskin di Selangor tidak mendapat bekalan air bersih yang berpunca daripada ketidakmampuan mereka untuk memilikinya.

 

“Apa kata, sebahagian daripada jumlah peruntukan itu yang dinikmati oleh orang kaya digunakan untuk memasang paip air bersih kepada mereka yang memerlukan.

 

“Menteri Besar harus menyelaraskan perkara ini dan cubalah turun padang untuk meninjau sendiri keadaan masyarakat di luar bandar yang masih jauh ketinggalan dari mendapat kemudahan disediakan kerajaan negeri,” katanya.-MalaysiaGazette



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...