JAKARTA – Negara-negara Islam hendaklah menolak campur tangan asing terhadap dunia Islam dan menyatakan penolakan tersebut sejelas-jelasnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, semua telah menyaksikan kesan kemusnahan akibat campur tangan asing di dalam dunia Islam, lazimnya berasaskan maklumat tidak lengkap, maklumat salah atau berat sebelah.
“Kita hendaklah menyatakan sejelas-jelasnya bahawa kita menolak campur tangan ini. Dan menolak juga mereka, yang didorong sentimen politik, yang menjemput kuasa asing untuk mencampuri urusan dalam negara mereka sendiri.
“Kita, sebagai umat Islam, hendaklah mengambil tanggungjawab ke atas diri kita sendiri, dan berdoa untuk diberi bimbingan bagi melakukannya,’’ kata Perdana Menteri semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12 di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata, bila dibandingkan, negara majoriti Islam seperti Malaysia dan Indonesia, yang tidak terkena campur tangan asing, adalah oasis keamanan dan kestabilan.
“Inilah mengapa para pemimpin di sini hari ini perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dan isu mereka secara bersama. Saya sentiasa mendokong kepada prinsip keterbukaan dan kolaborasi.
“Namun, kita mesti pertahankan kedaulatan negara kita, undang-undang kita dan kerajaan kita yang dipilih secara demokrasi,’’ kata beliau.
Najib berkata, campur tangan asing di negara-negara Islam telah mengakibatkan kesan-kesan terancang dan tidak dirancang, yang masih dirasai sehingga ke hari ini.
Katanya, penaklukan terhadap Iraq telah mencetuskan rantaian kemusnahan yang berterusan dengan kekacauan dan bencana serta perpecahan negara seperti di Iraq, Syira dan Libya.
Malah, kejadian `Arab Spring’ telah menyemai bibit-bibit ketidakstabilan di seluruh rantau tersebut, dengan ribuan terkorban, manakala pengganas dan militia bergerak bebas di tanah yang dulunya aman. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW