loading...

Perkukuh Hubungan Sesama Insan Sempena Kedatangan Ramadan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, umat Islam di negara ini perlu mengambil peluang bersempena bulan Ra­ma­dan untuk memperkukuhkan hubungan sesama insan khusus­nya yang kurang berkemampuan.

 

Perdana Menteri dalam perutusan sempena bulan Ramadan berkata, bulan puasa bukan hanya menumpukan kepada hubungan manusia dengan Tuhan, bahkan juga bulan yang menggalakkan umat Islam untuk mempertingkatkan sumbangan sesama insan.

 

“Melalui sumbangan ini, ki­ta bersama dapat merasai kesu­sa­han golongan yang tidak ber­kemampuan dan puasa ini sebenarnya mampu meningkatkan tahap ihsan manusia untuk berkongsi rezeki dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka dengan golongan yang kurang berkemampuan.

 

“Sebab itulah, kita dituntut untuk mempertingkatkan sumba­ngan dan khidmat kepada mereka yang lebih memerlukan di bulan ini. Malah, kita bersyukur kerana umat Islam di Malaysia sentiasa dapat menyumbang dan membantu saudara yang kurang bernasib baik dari dalam dan luar negara,” katanya dalam laman blog NajibRazak.Com di sini semalam.

 

Perdana Menteri turut mengi­ngatkan umat Islam agar menjaga keseimbangan dan ikatan dengan nilai-nilai ukhrawi sebagai asas dalam membina kekuatan sebagai sebuah negara bangsa yang merupakan sebahagian dari tuntutan Islam.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, Madrasah Ramadan merupakan peluang untuk semua umat Islam sebagai individu dan secara kolektif untuk me­ngukuhkan dimensi kerohanian dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan dalam setiap aspek ke­hi­dupan yang lain.

 

“Sememangnya ibadah puasa dapat melatih kita supaya sentiasa bersabar untuk menghadapi sebarang bencana dan pergolakan hidup, bahkan puasa juga melatih kita agar menepati masa terutamanya ketika bersahur dan berbuka puasa,” jelasnya.

 

Perdana Menteri turut berharap agar bulan Ramadan kali ini dapat mengangkat tahap ketak­waan umat Islam yang merupakan matlamat asasi pensyariatan fardu puasa sebagaimana yang difirmankan Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

 

“Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada umat terdahulu agar kamu bertakwa.”

 

“Semoga negara kita mendapat bahagian yang maksimum daripada limpahan rahmat, barakah dan maghfirah yang dijanjikan Allah SWT di bulan ini,” katanya. – Utusan

Previous
Next Post »
loading...