loading...

Militan IS Jangan Cuba Ugut Malaysia – KPN

AMPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak gentar dengan ancaman kumpulan militan IS rakyat Malaysia menerusi rakaman video yang tersebar luas di media sosial.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata rakaman itu bukan video pertama dimuat naik kumpulan berkenaan, sebaliknya sudah banyak sebelum ini.

 

“Polis tidak akan sesekali membenarkan elemen IS bertapak dan disebarkan di negara ini.

 

“Jangan cuba gertak kami. Kalau setakat membuat liputan dari jauh, kami tak gentar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS): Go To Safety Points bersama PETRONAS di stesen minyak PETRONAS Jalan Kolam Air, di sini, sebentar tadi.

 

Khalid berkata, pihaknya tidak memandang ringan ugutan terbabit dan seluruh pasukan berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dalam memantau aktiviti kumpulan berkenaan di negara ini.

 

Katanya, ia termasuk pemantauan di sempadan yang dijadikan laluan mereka keluar masuk.

 

“Kawalan keselamatan (di pintu sempadan) memang ditingkatkan. Kita yakin petugas di pintu masuk akan lebih berhati-hati dalam membuat tapisan mereka yang masuk dari sana,” katanya.

 

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai sentiasa menjaga keselamatan di tempat awam sebagai langkah berjaga-jaga.

 

Semalam, polis mengesahkan seorang daripada tiga individu dalam klip video yang dimuat naik kumpulan militan IS adalah rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Mohd Rafi Udin.

 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay, berkata Mohd Rafi berasal dari Negeri Sembilan dan meninggalkan Malaysia untuk menyertai IS di Syria pada tahun 2014.

 

Mohd Rafi juga adalah ahli Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM) yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...