JITRA ― Suatu ketika dahulu gendang raya atau beduk menjadi alat penting untuk memberitahu masuknya waktu solat, atau ada kematian di kampung, bencana alam, meminta pertolongan orang kampung atau tanda waktu berbuka puasa dan bersahur.
Kini gendang itu rata-rata tidak lagi digunakan apabila pelbagai teknologi canggih menggantikan fungsinya.
Namun Kampung Pulau Timbul, dekat sini masih mengekalkan tradisi memukul gendang sepanjang bulan Ramadan untuk mengejutkan penduduk kampung bersahur.
Anggota Jawatankuasa Masjid Kampung Pulau Timbul, Ahmad Abdul Hamid berkata paluan beduk atau gendang raya ini hanya didengari setiap kali Ramadan sejak 20 tahun lepas, setelah fungsinya yang lain (yang diamalkan lebih 100 tahun) diambil alih dengan peralatan moden.
“Sudah menjadi tradisi di kampung ini gendang akan dipukul pada dua sesi iaitu pukul 12.30 malam hingga 1.30 pagi dan sekali lagi dari pukul 2.30 hingga 3.30 pagi. Pukulan pertama bagi mengejutkan ibu atau isteri menyiapkan juadah sahur dan mengejutkan mereka untuk melakukan solat sunat.
“Pukulan gendang kedua bagi mengejutkan orang ramai untuk bangun bersahur, mewarisi tradisi 100 tahun lalu untuk diteruskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Ahmad, 60, berkata pukulan gendang sahur akan dilakukan oleh tiga orang yang berperanan sebagai ‘ibu, telunjuk dan ikut’, secara bergilir memalu gendang itu berterusan selama satu jam.
“Alunan paluan gendang ini amat berbeza dan istimewanya paluan gendang sahur ini dilakukan tiga orang yang mahir. Jika paluan gendang untuk solat, memberitahu kematian, hanya dilakukan oleh seorang sahaja dengan alunan berbeza.
“Mereka perlu menggunakan tenaga yang banyak untuk memukul gendang itu agar alunan gendang itu dapat didengari sehingga 15 kilometer secara bergilir dan disertai oleh pelbagai peringkat umur,” katanya.
Beliau turut bertanggungjawab melatih generasi muda mengenai pukulan gendang itu bagi memastikan ia tidak lupus ditelan zaman.
Mohd Shahrul Yaakob, 34, berkata setiap menjelang Ramadan dia secara sukarela akan memukul gendang itu bersama rakan-rakan sekaligus dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara generasi muda dan tua.
Katanya beliau telah diberi peluang memukul gendang itu sejak di bangku sekolah menengah dan hingga kini tidak melepaskan peluang untuk memukul gendang sahur bersama rakan-rakan lain.
Sementara itu, Mohd Danial Md Idris, 17, berkata dia amat bertuah kerana terpilih untuk menyertai kumpulan pemukul gendang sahur lain serta tertarik dengan alunan bunyi pukulan gendang itu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior itu berkata setiap mereka akan memukul gendang itu selama lima minit sebelum diganti oleh rakan-rakan lain. ― Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW