loading...

Penjual Biskut Raya Raih Pendapatan Cecah RM10,000 Sehari

KOTA BHARU – Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam pada minggu depan nyata memberi keuntungan lumayan kepada peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini.

 

Pada bulan biasa, pasar itu beroperasi 24 jam sehari dengan sebelah pagi dijadikan pasar basah dan waktu malam sebagai pasar malam.

 

Beberapa peniaga yang sebelum ini menjalankan perniagaan buah-buahan, menukar produk jualan mereka kepada biskut raya dan meraih pendapatan mencecah RM10,000 sehari.

 

Shafie Wan Muhamood, 37, berkata, beliau mampu membuat jualan sekitar RM5,000 hingga RM10,000 sehari sejak mula menjual biskut raya sejak awal Ramadan.

 

“Sebelum Ramadan, saya menjual buah-buahan di pasar ini dengan pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM3,000 sehari, namun menukar strategi dengan menjual biskut raya kerana ada permintaan tinggi daripada pelanggan,” katanya.

 

“Sejak 10 tahun lepas, apabila tibanya Ramadan, 15 pekerja saya akan bekerja secara bergilir-gilir bagi menjual biskut raya terus kepada pelanggan,” kata Shafie.

 

Antara biskut raya yang dijual di gerai Shafie ialah London Almond, Tart Nanas dan Sarang Burung serta aneka kerepek pisang dan ubi.

 

Shafie berkata, beliau mendapatkan bekalan daripada pembekal dari luar Kelantan serta penduduk setempat yang mengusahakan biskut raya secara kecil-kecilan.

 

Beliau berkata harga minimum bagi biskut raya bermula dari RM15 hingga RM20 dan bergantung kepada jenis biskut dan kuantitinya.

 

Seorang lagi peniaga, Nasuha Husin, 30, berkata, masyarakat pada masa kini lebih gemar membeli biskut berbanding membuatnya sendiri.

 

Beliau berkata, ia mungkin disebabkan mereka tidak mempunyai masa kerana sibuk dengan tugasan harian.

 

“Tidak hairanlah jika ada pelanggan yang membeli tiga hingga lima jenis biskut pada satu-satu masa,” katanya. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...