loading...

Tiga Jam Mengemis Di Bazar Ramadan Dapat RM500

KUALA TERENGGANU – “Saya dapat RM500 dalam tiga jam duduk mengemis di bazar Ramadan, tetapi semua duit tu saya beri pada ustaz,” akui seorang remaja warga asing ketika ditahan pihak penguat kuasa ketika Ops Pengemis yang dijalankan secara bersepadu di sini, semalam.

 

Remaja berusia 17 tahun yang berasal dari Narathiwat, Thailand itu berkata, dia bersama-sama tujuh lagi rakannya dibawa masuk ke negara ini sejak seminggu lalu bagi tujuan mengutip derma untuk pembangunan sebuah madrasah yang dinamakan Sami Ulung di Songkhla, Thailand.

 

“Hari ini (semalam) baru masuk tujuh hari saya kutip derma, hari ini saya tak sangka pula kena tahan, langsung tak boleh puasa sebab ada orang buat khianat,” luahnya.

 

Remaja itu ditahan penguat kuasa bersama-sama tabung kutipan derma yang dijaganya di Bazar Ramadan Kuala Ibai dan hasil siasatan mendapati remaja tersebut berjaya memperoleh RM516.40 dalam tempoh tiga jam berada di lokasi itu.

 

Beliau ditahan bersama-sama dua lagi pengemis seorang berbangsa Rohingya berusia 63 tahun di Bazar Ramadan Shahbandar dengan hasil kutipan diperoleh RM256.50 dan seorang warga tempatan di Bazar Ramadan Seberang Takir dengan hasil kutipan RM50.

 

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Suhaizan Abdullah berkata, remaja itu akan disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Peraturan Imigresen kerana kesalahan mengguna pas sempadan.

 

Sementara itu, wanita warga tempatan berusia 42 tahun itu berkata, ketika ditahan, dia baru tiga hari mengemis di Bazar Ramadan Seberang Takir kerana tidak dapat bekerja sepanjang Ramadan.

 

“Saya tak dapat kerja sebab kedai makan di Kampung Cina tempat saya bekerja tidak beroperasi selama sebulan pada bulan puasa, jadi untuk tampung  keperluan keluarga saya terpaksa mengemis.

 

“Lagipun suami tiada dan saya menanggung dua lagi anak yang masih bersekolah selain terpaksa bayar sewa bulanan rumah RM180,” katanya.

 

Ditanya sama ada pernah memohon bantuan dari mana-mana pihak, katanya, dia baru sahaja membuat permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun belum lagi mendapat keputusan sama ada lulus atau tidak.

 

Dalam pada itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Terengganu, Zainal Omar berkata, Ops Pengemis dijalankan bagi membanteras sindiket gunakan pengemis untuk mengaut keuntungan.

 

Katanya, ia juga bagi membantu masyarakat supaya tidak tertipu dan menyalurkan derma pada saluran betul supaya yang terimanya nanti ialah mereka yang benar-benar perlukan bantuan seperti golongan asnaf dan fakir miskin.

 

Beliau berkata, Ops Pengemis itu dijalankan serentak di tujuh bazar di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus melibatkan seramai 30 anggota penguat kuasa.

 

“Seramai 30 penguat kuasa dari pelbagai agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, JKM, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia,” katanya. – Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...