KUALA LUMPUR — Penggunaan vaksin terhadap penyakit yang mempunyai risiko kematian adalah wajib, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Beliau berkata vaksin itu diperlukan supaya tidak memudaratkan individu itu sendiri dan memudaratkan orang lain.
“Kalau yang menentukan hidup mati kita iaitu maknanya darurat maka hukumnya wajib ambil. Tetapi hukumnya harus kalau tidak sampai darurat,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam, mengulas keengganan sesetengah ibu bapa membenarkan anak divaksin.
Mohamad Shukri berkata golongan antivaksin tidak boleh membuat andaian yang vaksin mengandungi bahan tidak suci atau bahan terlarang.
“Kementerian Kesihatan sudah membuat penyelidikan dan menyiasat bahan-bahan itu. Jadi hukum tak boleh berdasarkan persepsi. Kita kena bagi kepercayaan kepada pihak berwajib,” kata beliau.
Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria pula berkata penggunaan vaksin sudah diluluskan sejak dahulu lagi dengan setiap kanak-kanak perlu divaksin.
“Ia harus dan mesti mengikut undang-undang dengan syarat vaksin itu mestilah perkara yang halal.
“Tetapi sekiranya waktu itu tidak didapati vaksin yang halal, ia masih lagi bercampur benda yang haram sedangkan (vaksin) itu perlu, maka harus diambil,” katanya.
Kelmarin Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kementerian itu sedang mempertimbangkan untuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung fatwa penggunaan vaksin.
Dr Hilmi turut memberi jaminan semua vaksin adalah halal dan tidak mengandungi DNA (asid deoksiribonukleik) babi.
Sementara itu jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata setakat ini belum ada perbincangan mengenai perkara tersebut.
“Kita tunggu Kementerian Kesihatan ‘consult’ dengan Jakim dahulu,” katanya. — Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW