BANDAR SERI JEMPOL – Ketiadaan insentif Aidilfitri bagi 13,589 peneroka yang meninggalkan FELDA sudah lama dilakukan.
Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata mereka yang tidak mendapat ‘duit raya’ itu termasuk golongan melakukan urus niaga tanpa kebenaran FELDA atau menyaman agensi kerajaan itu.
Katanya, perkara sama sengaja dibangkitkan setiap tahun oleh pembangkang yang mendakwa FELDA menzalimi peneroka.
“Isu lapuk ini tidak perlu diperbesarkan kerana kebanyakan peneroka memahami perkara itu.
“Bagaimanapun, ada pihak mahu mencuba nasib membangkitkan isu ini dengan harapan peneroka akan marah.
“Pastinya tidak adil jika peneroka yang sudah meninggalkan FELDA termasuk yang bersungguh-sungguh menyaman FELDA mendapat keistimewaan itu hingga menimbulkan kemarahan peneroka lain,” katanya ketika ditemui pada program iftar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negeri, Datuk Jaafar Mohd Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Sumber Manusia dan Kampung Baru negeri, Datuk L Manickam.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika menghadiri Program Ihya Rahmat Ramadan dan warga FELDA bersama Perdana Menteri peringkat Kebangsaan 2016 di FELDA Chini Timur 3, Pahang, mengumumkan Insentif Aidilfitri RM500 kepada 99,046 peneroka di seluruh negara.
Mohd Isa yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, FELDA tetap meneruskan kaedah pemberian Insentif Aidilfitri mengikut syarat ditetapkan agensi itu.
Katanya, insentif itu akan diberi secepat mungkin bagi membolehkan peneroka menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. – BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW