KUALA LUMPUR – Gara-gara memuat naik status mengenai isu pengambilan anti-vaksin, Imam Muda Ammar mencetuskan kemarahan golongan netizen.
Menerusi status berkenaan di akaun Facebook miliknya, Ammar memberi pendapat seolah-olah mempertikaikan pengambilan vaksin dengan menyifatkan ia takkan membantu melambatkan kematian seseorang.
“Ada satu kes kanak-kanak tidak mendapatkan vaksin maut terlalu diribut-ributkan. Oh, ingatkan 90 peratus budak mengalami kes seperti itu. Rupa-rupanya hanya satu peratus pun tidak sampai. Tak tahu pula Malaikat Maut tidak mencabut nyawa budak yang mengambil vaksin.
“Dan tidak tahu pula kanak-kanak yang mengambil vaksin mendapat lebihan nyawa. Untunglah, … jangan marah. Tanya saja,” katanya.
Ekoran status berkenaan, Ammar dihentam hebat oleh orang ramai yang menyifatkan beliau tidak layak untuk membuat kenyataan sedemikian, apatah lagi dirinya yang mempunyai pengetahuan ilmu agama menjadi contoh kepada golongan remaja.
Bagaimanapun, selepas dihentam hebat, Ammar memadamkan status terbabit dan pada masa sama memuat naik status baharu, dengan menyatakan beliau mendapat pahala secara ‘percuma’ kerana dikutuk masyarakat. Perkara itu membuatkan beliau terus dihentam.
Sebelum ini, kewujudan golongan ibu bapa yang tidak mahu memberi suntikan vaksin kepada anak-anak mereka memang menjadi bahan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Hal itu berlaku berikutan kepercayaan segelintir ibu bapa mengenai artikel daripada internet yang tidak sahih kebenarannya mengenai bahaya pengambilan vaksin.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun berasal dari Ujong Pasir, Melaka, meninggal dunia di Hospital Melaka pada Sabtu lalu akibat dijangkiti bakteria difteria.
Susulannya, Kementerian Kesihatan menerusi laporan BERNAMA menasihati ibu bapa untuk memastikan anak masing-masing mendapat imunisasi vaksin lima serangkai yang lengkap bagi melindungi mereka daripada pelbagai ancaman penyakit, termasuk jangkitan difteria. – BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW