KOTA BELUD: “Selepas bot dipukul ombak dan hampir pecah selepas dimasuki air, saya minta semua penumpang dan kru bersedia serta memakai jaket keselamatan.”
Pemandu bot berkenaan, Amli Dait, 36, berkata mereka juga diingatkan tidak berpecah dan kekal berkumpulan.
“Ketika kejadian, kami berada antara Pulau Mantanani dan Kuala Abai kira-kira jam 5 petang. Saya beritahu kru supaya bersedia dan memastikan semua penumpang memakai jaket keselamatan.
“Kami juga mengikat tali antara satu sama lain sebelum bot tenggelam,” katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Rampayan di sini, hari ini.
Amli berkata, mereka diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) kira-kira jam 8 pagi.
Beliau yang berpengalaman enam tahun membawa bot turut meminta penumpang dan kru tidak tidur, terutama ketika mereka hanyut dalam keadaan terapung mengikut arus ombak.
“Kami ada nampak kehadiran pasukan penyelamat namun mereka tidak nampak kami malam tadi. Kami tiada apa-apa peralatan sebagai isyarat untuk memaklumkan kehadiran.
“Waktu itu, hanya air laut yang diminum,” katanya yang turut dibawa ke Hospital Kota Belud untuk menerima rawatan lanjut.
Semua 22 mangsa bot karam termasuk 12 pelancong China di perairan berhampiran Pulau Mantanani petang semalam, ditemui terapung berhampiran perairan Tanjung Dudar, Kota Belud, pagi tadi.
Mereka ditemui anggota PPM dan dibawa ke jeti Kampung Rampayan Laut, Kota Belud, sebelum dirujuk ke Hospital Kota Belud untuk pemeriksaan susulan. – BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW