KUALA LUMPUR – Selepas hampir tiga bulan memulakan kayuhan basikal dari Masjid Negara di sini, pasangan suami isteri Ahmad Mohd Isa, 28, dan Noradilah Mohd Sapie, 29, kini tiba di Kolkata, India.
Mereka yang memulakan perjalanan sejak 8 April lepas, dalam ekspedisi Kembara Memburu Hikmah (KMH) dengan matlamat utama menunaikan umrah dan ziarah ke Masjidil Haram, Mekah, akan melalui 12 negara.
Ahmad berkata sehingga kini beliau dan isteri berkayuh sejauh 1,900 kilometer, meliputi jalan raya dan jalan kampung yang tidak berturap.
“Bagaimanapun rancangan kami untuk berkayuh ke India dari Myanmar tidak dapat diteruskan kerana jalan raya di sempadan kedua-dua negara ditutup.
“Oleh itu, kami terpaksa menaiki penerbangan dari Yangon terus ke Kolkata dan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana,” katanya.
Ahmad berkata beliau masih belum merancang untuk berkayuh secara serius kerana berpuasa dan kemungkinan menyambung semula selepas hari raya ini.
Beliau berkata antara cabaran ditempuh setakat ini ialah mereka terpaksa menyorong basikal selama tujuh jam tanpa berkasut sejauh 22km apabila melalui jalan berselut di sebuah perkampungan di Myanmar.
“Selain itu tayar basikal saya sudah masuk kali keempat ditukar kerana terkena dawai dan kaca,” katanya.
Berkongsi pandangan mengenai komuniti Muslim di Myanmar dan Thailand pula, Ahmad memberitahu jumlah mereka adalah kecil dan wujud perbezaan budaya berbanding komuniti Islam di Malaysia.
“Sistem beraja Thailand dari dulu hingga kini tidak pernah menghalang rakyatnya mengamalkan kehidupan beragama malah pendidikan Islam terus berkembang.
“Berbeza di Myanmar, Muslimnya agak terasing memandangkan suasana politik yang kurang menerima amalan Islam,” katanya.
Selain melakukan misi kemanusiaan di setiap negara yang dijelajah, mereka turut membawa cabaran merekodkan data berkaitan sejarah, budaya dan kehidupan komuniti Islam.
Turut mengiringi misi KMH itu ialah Mohd Nur Aiman Mohd Zaid, 27, dan Amirul Ariff Abd Wahab, 28, yang bertindak sebagai kru penggambaran video.
Selain Myanmar, Thailand dan India, negara lain yang bakal dijelajah ialah Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Bahrain dan Arab Saudi dengan jarak 12,235 km.
Perkembangan semasa ekspedisi itu boleh diikuti melalui Facebook Kembara Memburu Hikmah.
Ahmad dan Noradilah yang berasal dari Selangor, dijangka menamatkan misi itu dan tiba di Masjidil Haram pada April 2017. — BERNAMA
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW