loading...

Honda Malaysia Sahkan Surirumah Terbunuh Kerana Beg Udara Takata

PETALING JAYA – Honda City yang terbabit dalam kemalangan meragut nyawa seorang wanita di Kota Damansara semalam disahkan dipanggil balik pada Mei 2015 tetapi pemiliknya ketika itu tidak berbuat demikian.

 

Honda Malaysia Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan rekod syarikat itu menunjukkan tiga notis panggilan balik dihantar kepada pemilik berkenaan untuk menggantikan inflator beg udara Takata di bahagian penumpang dan pemandu.

 

“Rekod kami menunjukkan pembaikan untuk panggilan balik itu tidak pernah disempurnakan,” menurut kenyataan itu.

 

Menurutnya, Honda sedang berhubung dengan wakil keluarga mangsa untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

 

Terdahulu, Honda mengesahkan ketika melakukan pemeriksaan bersama Polis Diraja Malaysia, inflator beg udara pemandu seperingkat (SDI) Takata didapati pecah dalam kemalangan membabitkan Honda City keluaran 2005 itu, semalam.

 

Suri rumah Norazlin Haron, 44, terbunuh di tempat kejadian pada jam 12.30 tengah hari Ahad dalam nahas membabitkan kereta Honda City mangsa dan sebuah Mercedes Benz, dipercayai akibat serpihan besi yang terpelanting daripada beg udara di stereng kereta terkena dadanya.

 

Ini adalah kematian keempat membabitkan beg udara di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun ini.

 

Kemalangan itu berlaku tiga hari selepas Honda Malaysia memanggil balik lebih 147,894 unit kenderaannya bagi menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang hadapan, Khamis lalu.

 

Panggilan balik itu membabitkan Honda Accord keluaran 2003-2011, City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008). – FMT



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...