KUALA KANGSAR – Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar begitu memberangsangkan sejak pengundian bermula 8 pagi tadi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.
Setakat jam 10 pagi, katanya, ia mencecah 24 peratus di PRK Kuala Kangsar dan 22 peratus di PRK Sungai Besar.
“Saya yakin jika momentum keluar mengundi ini kekal sehingga pusat mengundi ditutup jam 5 petang ini, kemungkinan peratusan keluar mengundi mencapai lebih 75 peratus di Kuala Kangsar, adalah positif,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau pusat daerah mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, di sini, sebentar tadi.
Mengulas perjalanan proses pengundian setakat jam 10.30 pagi ini, Mohd Hashim berkata, ‘mood’ pilihan raya begitu dirasai biarpun pada bulan puasa.
“Penyokong parti pun ramai yang datang berhimpun di sekitar pusat pengundian sejak pagi tadi. Kemeriahan PRK tetap dirasai walaupun dalam bulan puasa.
“Namun kita tetap mengingatkan semua penyokong parti supaya tidak menimbulkan sebarang kekecohan yang boleh mengganggu proses pengundian atau bergaduh sesama penyokong parti lain. Harap ini semua tidak berlaku,” katanya.
Beliau turut menjangkakan kehadiran pengundi pada sebelah petang di Kuala Kangsar mungkin menurun sedikit berikutan jangkaan hujan petang ini.
“Sebab itu kita harap semua pengundi di sini dapat menunaikan tanggungjawab (mengundi) mereka pagi ini sehingga tengah hari,” katanya. – BH