KOTA BHARU – “Pembangkang perlu terbuka menerima kekalahan masing-masing dan tidak seharusnya terus menyalahkan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini,” kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata, kekalahan itu sepatutnya dijadikan sebagai cabaran kepada parti yang bertanding untuk memperkukuhkan organisasi pada masa hadapan.
“Saya beri pandangan kepada semua pihak yang kalah supaya bersikap terbuka dan realistik, sebagaimana kita (Pas) pun terima kekalahan itu secara terbuka serta menganggapnya sebagai satu cabaran kepada kita untuk memperkuat parti pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Segelintir pemimpin pembangkang sebelum ini dilaporkan menyalahkan pengundi di kedua-dua kawasan Parlimen berkenaan kerana masih memberi kepercayaan kepada Barisan Nasiona (BN)l untuk menerajui dua kawasan terbabit.
BN menang besar dalam kedua-dua PRK itu dengan Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi di Kuala Kangsar manakala Budiman Mohd Zohdi meraih majoriti 9,191 undi di Sungai Besar.
Mohd Amar berkata walaupun Pas kalah di kedua-dua PRK berkenaan, namun parti itu berpuas hati kerana masih mendapat sokongan daripada pengundi di kawasan terbabit.
“Kita rasa berpuas hati dengan pencapaian kerana dalam suasana selepas berlaku perpecahan dalam muktamar tahun lepas dan kemudian serangan dan kritikan (negatif) yang dibuat kepada Pas, tiba-tiba kita masih mendapat undi yang masih lagi kuat dan tidak mengalami perbezaan yang begitu ketara (berbanding pencapaian) pada PRU13 lalu.
“Secara umumnya Pas tidak terjejas dengan pergolakan dalaman dan kewujudan Amanah (Parti Amanah Negara) dan bagi kita ini satu kejayaan kepada Pas,” katanya. – Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW