loading...

PAS Sambung Tali Hayat UMNO Dalam Isu Hudud – DAP

PETALING JAYA – DAP mendakwa PAS kini adalah penyambung tali hayat UMNO dan BN apabila parti Islam itu dilihat kerap melemparkan tuduhan liar kononnya DAP memusuhi Islam.

 

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, tuduhan liar itu yang sering dilontarkan UMNO sebelum ini bertujuan menjatuhkan imej DAP dalam kalangan masyarakat Islam.

 

“DAP berasa amat kesal dan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

“Hadi menyifatkan tindakan beberapa ahli Parlimen DAP mempertikaikan usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian yang dibawa oleh beliau di Dewan Rakyat Khamis lalu sebagai tindakan memusuhi Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Katanya, ahli-ahli Parlimen DAP hanya mempertikaikan prosedur Peraturan Mesyuarat dan tujuan kerajaan membenarkan usul RUU Persendirian itu yang dilihat bermotifkan politik.

 

“Kami mempersoalkan mengapa tiba-tiba pihak kerajaan membenarkan usul tersebut dibentangkan tanpa sebarang notis dan seolah-olah untuk ‘memerangkap’ ahli-ahli Parlimen yang langsung tidak bersedia untuk membahaskan pindaan Rang Undang-undang tersebut,” jelasnya.

 

Tambah Anthony, DAP tetap tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud atas prinsip ia tidak sejajar Perlembagaan Persekutuan dan tidak praktikal dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

 

“Pendirian inilah yang kami pegang selama kami bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat dari 2008 sehingga 2015.

 

“Dalam hujah kami yang tidak bersetuju dengan PAS dalam isu hudud selama ini, pemimpin-pemimpin DAP tidak pernah memperlekehkan undang-undang syariah mahupun ingin memusuhi masyarakat Islam. DAP tidak pernah anti-Islam,” jelasnya.

 

Selain itu, DAP turut mengingatkan PAS bahawa sewaktu era Pakatan Rakyat, pemimpin-pemimpin parti itu banyak mempertahankan PAS daripada serangan parti-parti komponen BN seperti MCA yang sentiasa memperlekehkan undang-undang syariah.

 

“Kenyataan Hadi mempertahankan parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, GERAKAN dan menuduh DAP sebagai tidak beradap dan memusuhi Islam amatlah dikesali dan tidak adil sama sekali,” jelasnya. – FMT

Previous
Next Post »
loading...