loading...

Juruterbang Sahur, Berbuka Di Dua Negara Pada Hari Yang Sama

KUALA TERENGGANU – Bersahur di negara lain, berbuka di negara lain dengan ditemani pemandangan pergerakan awan pada ketinggian 41,000 kaki tentunya pengalaman menarik yang tidak semua orang dapat menikmatinya.

 

Jadual berbuka berbeza walaupun pada hari yang sama juga adalah kenangan yang hanya sekali sekala diperoleh seseorang malah ada yang beruntung kerana dapat berbuka lebih awal atau mungkin melebihi masa hingga sudah mula terasa bahana laparnya.

 

Juruterbang adalah mereka yang terpilih untuk merasai pengalaman sedemikian malah ada antara mereka akan mula rindu apabila tiba Ramadan.

 

Mohd Hairul Sanot, 36, yang berpengalaman menjadi juruterbang sejak Mac 2007 dengan syarikat penerbangan MAS berkata pengalaman tersebut amat menarik baginya dan seseorang juruterbang telah bersedia untuk bertahan kerana telah diajar sejak awal latihan lagi.

 

“Waktu berpuasa berpandukan pada terbit dan terbenamnya matahari. Siang dan malam terjadi bukan kerana bumi mengelilingi matahari, sebaliknya kerana bumi beredar pada paksinya.

 

“Permukaan bumi yang menghadap matahari akan menempuhi siang. Permukaan yang membelakangi matahari akan merasai malam…disebabkan oleh paksi ini tidak tegak dan ia senget sedikit sebanyak 23.5 darjah, jumlah masa siang dan malam berbeza bagi setiap tempat.

 

“Ia bergantung pada posisi bumi yang mengelilingi matahari. Selain itu, faktor ketinggian di mana seseorang itu berada juga akan menentukan waktu berbuka puasa lebih cepat ataupun lambat.

 

“Semakin tinggi seseorang itu berada akan memberinya lebih cepat berpuasa dan lebih lambat berbuka berbanding orang di bawah,” katanya kepada Bernama ketika mencungkil pengalaman juruterbang di bulan Ramadan.

 

Tambah Hairul walaupun Islam memberi kelonggaran ataupun rukhsakh untuk berbuka jika tidak tahan dengan penerbangan yang memenatkan, kebanyakan juruterbang dan kru kabin masih akan memilih untuk berpuasa.

 

“Pada 9 Jun lalu, saya bertugas dari Kuala Lumpur ke Melbourne Australia. Waktu saya berlepas ialah pada pukul 10.30 pagi waktu Kuala Lumpur. Waktu berbuka puasa saya ialah pukul 4.30 petang waktu Kuala Lumpur.

 

“Jumlah masa saya berpuasa ialah 10 jam 50 minit, berbanding 13 jam 42 minit di Kuala Lumpur dan 11 jam 11 minit di Melbourne. Lebih pendek daripada berpuasa di Melbourne, menarik bukan!

 

“Namun pada 29 Jun 2016, saya akan terbang ke Jeddah. Warga Jeddah akan berpuasa selama 14 jam 54 minit manakala warga KL akan berpuasa selama 13 jam 43 minit. Saya pula berkemungkinan akan berpuasa selama 17 jam! Yang ini kena banyak bersabar dan berselawatlah ya. Mungkin akan berbuka puasa semasa mendarat.

 

“Jika waktu berlepas adalah dekat dengan waktu berbuka, biasanya saya akan berbuka dengan kurma dan minuman sahaja dahulu. Apabila sudah cruise (terbang biasa), barulah saya ambil makanan berat sedikit,” katanya.

 

Bagi menjaga keselamatan penumpang dan kelancaran penerbangan, sekiranya kedua-dua juruterbang Islam, mereka akan makan secara bergilir-gilir.

 

Hairul berkata ketika waktu sahur dalam penerbangan, juruterbang dan anak kapal biasanya tidak makan terlalu banyak, ia berkemungkinan kerana keadaan di dalam kapal yang ibarat sebuah kapsul yang dikawal tekanan udaranya membuatkan kurang berselera.

 

“Tetapi sebaik sahaja mendarat, kami akan berasa lapar yang amat sangat,” ujarnya yang telah mengikuti latihan penerbangan di Bankstown, Sydney Australia sebelum berkhidmat bersama MAS.

 

Beliau merupakan bekas pelajar Universiti Putra Malaysia dalam jurusan kejuruteraan angkasa.

 

Menceritakan bagaimana beliau menjadi juruterbang, Hairul berkata beliau tidak pernah bercita-cita mahupun berangan untuk menjadi juruterbang apatah lagi mampu menerbangkan pesawat hebat seperti Airbus 330 hingga ke merata negara.

 

“Saya seorang yang sukakan cabaran. Masa kecil dulu pakaian juruterbang pun saya tak tahu macam mana. Memang tidak pernah terfikir duduk dalam kapal terbang apatah lagi merasai Ramadan dengan keadaan begini.

 

“Ia sesuatu yang mengujakan dan mengingatkan saya betapa indahnya ciptaan Allah. Hebatnya kebesaran-Nya yang tiada tandingan, malah mata tidak akan berkelip setiap kali memerhati sekeliling yang ada di atas ini,” katanya.

 

Hairul turut berkongsi perasaan betapa beliau kagum melihat tahi bintang pada sebelah malam yang menakjubkan dan sentiasa mengiringi penglihatan itu bersama zikir serta selawat sebagai tanda syukur.

 

Ketika ditanya mengenai pengalaman berhari raya dikelilingi awan biru, Hairul berkata sepanjang hampir 10 tahun berkhidmat, hanya sekali merasai pengalaman tersebut iaitu ketika beliau mula berlatih menerbangkan pesawat di Sydney. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...