loading...

Harimau Malaysia Kalahkan Timor Leste

KUALA LUMPUR – Malaysia meraih kemenangan pertama tahun ini di bawah bimbingan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee selepas membenam Timor Leste 3-0 pada aksi pertama saingan play-off kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

 

Kemenangan itu menamatkan rentetan dua keputusan seri tanpa jaringan pada aksi persahabatan Mac dan Mei lalu menentang Macau serta Myanmar selain kelebihan menjelang aksi timbal balik, Isnin ini.

 

Malaysia terpaksa mengharungi satu lagi perlawanan menentang Timor Leste juga di Larkin pada Isnin bagi mengesahkan tempat di pusingan kelayakan peringkat kumpulan Piala Asia.

 

Penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri cemerlang pada perlawanan terbabit dengan menyumbangkan dua gol dengan penyerang veteran, Amri Yahyah melengkapkan gol ketiga Malaysia.

 

Tumpul di jentera serangan pada aksi sebelum ini, Malaysia melakukan asakan ke gawang lawan sepantas mungkin sekali gus menyaksikan penguasaan jelas menjadi milik pasukan kebangsaan.

 

Gol pertama Hazwan diperoleh pada minit ke-16 menerusi tandukan hasil daripada sepakan lintang Muhd Fazly Mazlan.

 

Empat minit kemudian, penjaga gol Timor Leste Ramos Maxxanches sekali lagi ditewaskan yang sekali lagi berpunca daripada gerakan Muhd Fazly bersama Ahmad Hazwan.

 

Selesa mendahului 2-0, Kim Swee melakukan beberapa perubahan pada babak kedua yang berjaya mencetus peluang untuk menambah gol.

 

Begitupun, gawang Malaysia hampir dibolosi selepas pemain lawan, Filipe Oliveira berjaya melepasi perangkap ofsaid namun rembatannya sedikit tersasar ketika penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan sudah tertewas.

 

Tampil selaku pemain gantian lewat permainan, Amri Yahyah membuktikan kemampuan yang dimiliki dengan meledak gol ketiga, seminit selepas dimasukkan bagi memastikan Malaysia meraih kemenangan pertama tahun ini. – BH

Previous
Next Post »
loading...