loading...

Bekas Profesor Calon Parti Amanah Di PRK Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR ― Parti Amanah Negara (Amanah) menamakan bekas profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ahmad Termizi Ramli sebagai calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil (PRK) parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun ini.

 

Pengumuman Ahmad Termizi, yang juga merupakan naib ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar, dibuat oleh presiden Amanah, Mohamad Sabu di Kota Lama Kanan, Jalan Sayong, di sini malam tadi.

 

Ahmad Termizi, berasal dar Kampung Suak Perai, Manong di sini, mempunyai ijazah doktor falsafah dalam fizik perubatan dari Universiti Swansea, Wales.

 

Beliau, yang merupakan seorang saintis, juga adalah anggota jawatankuasa biro politik Amanah Perak.

 

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian anggota parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad pada 5 Mei lalu dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak.

 

Barisan Nasional (BN) menamakan balu allahyarham, Datin Mastura Mohd Yazid, sebagai calonnya, manakala PAS meletakkan ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad.

 

Sementara itu, penolong setiausaha Pemuda Umno cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Selangor, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail telah menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas. ― Bernama

Previous
Next Post »
loading...