KUCHING – Hasrat seorang pesakit hati, adik Addi Asyraaf ingin berjumpa sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya tercapai petang tadi.
Najib ketika mengadakan lawatan ke Kuching sebentar tadi sempat meluangkan masa untuk menemui kanak-kanak tersebut di rumah keluarganya itu di 450A, Lorong 15, Kampung Bintawa Tengah, Petra Jaya dekat sini kira-kira pukul 4.15 petang pada Ahad.
Keinginan Addi Asyraaf yang ingin berjumpa langsung dengan idolanya mula tersebar melalui laman sosial sejak minggu lalu apabila ibunya, Zurina Jamil, 37, memuat naik mengenai hasrat anaknya itu menerusi Facebook.
Zurina melahirkan perasaan syukur kerana akhirnya permintaan anak kecilnya itu ditunaikan. Addi Asyraaf penghidap penyakit hati atau nama saintifiknya Allagile Syndrome sejak usianya mencecah tiga tahun.
Terdahulu Najib pada sebelah pagi merasmikan majlis pelancaran projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Kampung Andus, Papar sebelum bertolak ke Sarawak untuk lawatan rasmi selama dua hari sehingga Isnin.
Sebelah malam, Perdana Menteri dijangka akan menyertai program makan malam santai di Kampung Boyan di sini sebelum mengiringi calon Barisan Nasional untuk penamaan calon Pilihan Raya Negeri esok. – SuaraTV