loading...

Sindiket Gores dan Menang Kaut RM1.8 Juta Daripada 47 Mangsa

KUALA LUMPUR – Gores gambar Porsche, dapat barangan elektrik.
Itu antara penipuan yang dilakukan sekumpulan anggota sindiket gores dan menang yang hidup mewah sehingga mampu membeli banglo berharga RM2.5 juta dan beberapa kereta mewah bernilai RM1 juta selepas melakukan jenayah ter­sebut dua tahun lalu.

 

Modus operandi mereka mudah. Bawa mangsa yang berminat ke pejabat dan memilih kertas untuk digores.

 

Semua kertas yang digores mangsa akan menunjukkan gambar ke­reta mewah seperti Porsche, Mercedes-Benz dan Audi.

 

Mangsa yang teruja kemudian diminta mengeluarkan wang proses mengeluarkan kereta mewah tersebut di mesin pengeluaran automatik (ATM) bank dengan diiringi ahli sindiket biasanya antara RM5,000 hingga RM50,000.

 

Selepas menyerahkan wang, mangsa disuruh pulang dan menunggu ketibaan kereta dalam tempoh tiga minggu hingga sebulan.

 

Mangsa menyedari ditipu selepas hadiah yang diterima hanya­lah barangan elektrik murah membuat laporan polis.

 

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang melakukan risikan selepas menerima 47 laporan daripada mangsa yang mengalami kerugian keseluruhannya mencecah RM1.8 juta akhirnya berjaya menjejak 13 anggota sindiket tersebut.

 

Kesemua suspek diberkas dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Selangor bermula pukul 3.30 pagi hingga 11 pagi semalam.

 

Timbalan Pengarah Risikan Operasi JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, serbuan pertama, pihaknya telah menahan enam orang iaitu empat lelaki dan dua wanita di sebuah kedai makan di Jalan Prima, Kepong.

 

Menurutnya, susul­an penahanan tersebut, pihaknya seterusnya mem­buat satu lagi serbuan ke atas sebuah kedai makan di Taman Usahawan, Ban­dar Puteri Puchong, dekat sini dan menahan tujuh lagi anggota sindiket terbabit.

 

“Hasil siasatan telah membawa kita kepada sebuah rumah di Lorong Congkak, Shah Alam dekat sini sebelum menemukan beberapa ken­deraan me­wah dipercayai milik salah seorang anggota sindiket terbabit.

 

“Dalam pada itu, kita dapati sindiket ini turut telah memperdaya 35 orang dengan membabitkan nilai RM1.4 juta pada tahun lalu dan 12 orang de­ngan kerugian RM400,000 dalam tempoh awal tahun ini sehingga kini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. – Utusan

Previous
Next Post »
loading...