KUCHING – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, yang mempertahankan kerusi Tanjung Datu, akan dicabar oleh calon PKR, Jazolkipli Numan pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11).
Pertandingan satu lawan satu bagi kerusi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tanjung Datu, Hamsien Atar, selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Masyarakat Lundu, dekat sini hari ini.
Adenan, yang memegang jawatan Ketua Menteri sejak 28 Feb 2014, akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bagi penggal ketiga selepas menang pada pilihan raya negeri kesembilan pada 2006.
Adenan, 72, adalah presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tunjang BN Sarawak.
Pada sidang media selepas penamaan calon, Adenan berkata beliau mampu mengekalkan kerusi tersebut dan mempunyai peluang yang lebih tinggi berbanding pencabarnya.
“Berdasarkan rekod, saya menilai peluang pembangkang amat tipis. Saya fikir mereka hanya mahu mengalahkan saya tetapi tiada harapan untuk mereka menang kerusi ini,” katanya.
Pada pilihan raya negeri 2011, Adenan telah menang dengan majoriti 3,216 undi dengan mengalahkan calon PAS, Nani Sahari dan calon Bebas, Gilbert Asson Kulong.
Sementara itu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Timbalan Presiden II PBB, berhadapan pertandingan satu lawan satu dengan calon PKR, Mohamad Salleh Shawakat Ali bagi kerusi DUN Satok yang disandangnya.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Satok, Dr Saadiah Abdul Samad mengumumkannya di pusat penamaan calon di Dewan Datuk MerpatiJepang, Sekolah Kebangsaan Merpatijeoang di sini.
Abang Johari menyandang kerusi BN itu selama lapan penggal mulai 1981.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian dari BN akan menentang penyandang kerusi DUN Bukit Kawah, Chiew Wang See dari DAP dalam pertandingan tiga penjuru.
Seorang lagi ialah calon Bebas, Liu Thian Leong yang merupakan bekas pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Batu Kawah.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang pertama kali bertanding di kerusi DUN, berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon PKR, Noel Changgai Bucking bagi kerusi Bukit Saban.
Kerusi majoriti kaum Iban itu menjadi milik BN apabila Robert Lawson Chuat menang dengan majoriti 2,774 undi pada 2011.
Robert mengalahkan calon PKR, Jerah Engkiong dan calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Dayrell Walter Entries yang turut hilang wang deposit.
Pilihan raya kali ini turut menyaksikan parti pembangkang bersaing sesama sendiri di beberapa kerusi termasuk di Pujut di mana calon PAS, Jofri Jaraiee menentang Dr Ting Tiong Choon dari DAP.
Penyandang kerusi tersebut, Fong Pau Teck dari DAP, kini bertanding sebagai calon Bebas selepas dipecat dari parti itu kerana masalah disiplin pada November 2013.
BN menurunkan muka baharu, usahawan Datuk Hii King Chiong daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) untuk bertanding di kerusi itu.
Fong dipecat kerana melanggar etika parti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013 dengan mengingkari keputusan jawatankuasa parti negeri mencalonkan Eunice Lim untuk bertanding kerusi Parlimen Miri.
Pada PRN 2011, Fong mengalahkan calon BN, Chia Chu Fatt dengan majoriti 3,849 undi.
Sementara itu, krisis dalaman antara DAP dan PKR berhubung agihan kerusi bertambah kecoh apabila kedua-dua parti itu bertanding kerusi baharu, Batu Kitang, yang akan menyaksikan pertandingan lima penjuru.
DAP diwakili oleh Abdul Aziz Isa, pembantu khas kepada Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen manakala PKR oleh Voon Shiak Hi.
BN mencalonkan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Lo Khere Chiang daripada SUPP serta Sulaiman Kadir dan Othman Bojeng bertanding atas tiket Bebas.
Kerusi Muara Tuang menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan calon PAS, Zulkipli Ramzi ditentang oleh Abang Abdul Halil Abang Naili daripada Parti Amanah Negara (Amanah).
BN diwakili oleh muka baharu Datuk Idris Buang, yang merupakan anggota majlis tertinggi PBB.
Di Baleh, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Masing penyandang kerusi itu sejak PRN 1983, ditentang oleh calon DAP, Agop Linsong. – BERNAMA