KANGAR – Paras air di Empangan Timah Tasoh masih berada pada tahap kritikal 26.21 meter iaitu sebanyak 29.75 peratus, menyusut 0.02 meter semalam.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Abdul Najib Abdullah berkata paras air kembali menyusut selepas mencatatkan kenaikan 26.23 meter pada Rabu lepas.
“Bacaan ini berada pada tahap membimbangkan kerana masih jauh daripada paras normal iaitu 29.1 meter.
“Walau bagaimanapun, air untuk kegunaan domestik masih mencukupi sehingga sebulan lagi jika keadaan panas tanpa hujan ini berterusan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Perlis (SAP) Abd Hamid Sahid berkata pihaknya masih meneruskan catuan air namun pengeluaran terpaksa dikurangkan.
“Pengeluaran terpaksa dikurangkan menyebabkan beberapa kawasan tidak dapat dielakkan untuk menerima bekalan air berjadual.
“SAP bertanggungjawab dalam mengagihkan bekalan air bersih tersebut secara adil dan menyeluruh kepada semua penduduk yang terlibat,” katanya.
Pengarah Jabatan Meteorologi Perlis Muhammad Khalil Ab Jalil pula berkata suhu semasa di negeri ini setakat 3.50 petang tadi mencatatkan kenaikan bacaan iaitu 37.2 darjah celsius berbanding 37 darjah celsius semalam. – BERNAMA