loading...

Video : Kualiti Air Sungai Buah Baik, Tidak Tercemar

DENGKIL – Kualiti air di Sungai Buah yang menyebabkan loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih ditutup enam kali akibat mengalami pencemaran bau kini tidak lagi tercemar, selepas menempatkan bahan karbon teraktif sebagai penapis di sungai berkenaan.

 

Ketua Operasi Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, pihaknya setiap satu jam membuat semakan kualiti air bagi memastikan pencemaran dibaca pada bacaan ‘zero’ di benteng tersebut.

 

“Sungai itu mengalir di sini daripada (sempadan) Negeri Sembilan, didapati pada hari Ahad yang lalu, dikesan airnya mempunyai bau yang kuat oleh loji rawatan Semenyih. Oleh yang demikian, loji telah ditutup. Seterusnya untuk menghalang air yang tercemar itu masuk ke dalam sungai Semenyih, supaya loji dapat berfungsi seperti sediakala.

 

“Untuk merawat air tersebut kita bina lagi 3 buah benteng yang berbeza ketinggiannya supaya air tersebut boleh turun mengalir secara berperingkat dan diantara benteng-benteng tersebut kita letakkan bahan karbon teraktif bagi merawat bau. Supaya air tersebut apabila ia masuk kembali ke dalam Sungai Semenyih, telahpun dalam keadaan yang selamat untuk diproses oleh loji rawatan air,”katanya, ditemui di tapak pengendalian benteng di Sungai Buah, disini petang tadi.

 

Katanya, pada masa ini dua benteng ini telah pun siap di bina dan dua lagi masih dalam pembinaan.

 

“Bagaimanapun memandangkan kualiti air dalam keaadaan baik maka kita tidak lagi mengepangkan ia (tidak menahan air) dan dibiarkan sahaja air mengalir. Kualiti air ini kita semak setiap jam,”katanya.

 

Sebelum ini, Metro melaporkan, penutupan LRA Sungai Semenyih selama 11 jam terus mengundang kemarahan orang ramai, apa lagi kaum India yang menyambut Deepavali.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Shahrum Mohd Sharif memberitahu, pihaknya turun padang melihat kerja membina semula benteng sungai, sekali gus mendengar taklimat Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berhubung kaedah mengatasi pencemaran di kawasan berkenaan.

 

 

Terdahulu, Awani melaporkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengesahkan tidak berlaku sebarang pelepasan bahan kimia dan tercemar ke Sungai Buah sehingga menyebabkan penutupan loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih seperti yang didakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

 

Pengarahnya, Norhazni Mat Sari berkata daripada 59 kilang yang berada di seluruh Nilai, hanya 14 kilang melepaskan sisa ke Sungai Buah dan kesemuanya mematuhi syarat yang ditetapkan JAS.

 

“Fokus utama siasatan adalah untuk mengenal pasti punca pencemaran sebenar Sungai Buah. Siasatan secara bersepadu dan menyeluruh ini telah mengambil kira segala aspek termasuk kemalangan lori tangki di KM 46.2 Lebuhraya ELITE, sebarang unsur sabotaj, pelupusan haram buangan terjadual dan pematuhan effluen kilang.

 

“Hasil siasatan yang telah dijalankan oleh JAS Negeri Sembilan mendapati pelepasan effluen dari punca-punca industri di kawasan perindustrian sekitar Nilai mematuhi standard yang ditetapkan JAS,” kata Norhazni pada Mesyuarat bersama Kerajaan Negeri Sembilan dan Wakil Pengurusan Kilang sekitar Nilai di pejabatnya hari ini.

 

 

Beliau yang turut menafikan dakwaan kononnya pencemaran berpunca daripada sisa kilang, bagaimanapun akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap sisa berjadual kilang-kilang di sekitar Nilai.

 

 

Tambahnya, JAS Negeri Sembilan turut mengambil sampel tanah di kawasan Lebuhraya ELITE yang berlakunya kemalangan melibatkan lori tangki pada 22 Oktober lalu.

 

 

Sampel tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk ujian terperinci dan keputusan dijangka akan diketahui dalam masa terdekat.

 

 

Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan berkata terdapat bukti mengenai pencemaran air di Sungai Semenyih yang menunjukkan ‘kecenderungan unsur sabotaj’ oleh BN dan UMNO untuk melemahkan kerajaan negeri memandangkan pilihan raya sudah hampir.
Selain itu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan 23 Oktober lalu turut mendakwa LRA Sungai Semenyih terpaksa ditutup berikutan pencemaran bau air sungai yang dikatakan berpunca dari kawasan Perindustrian Nilai di Negeri Sembilan.-SuaraTV



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...