loading...

Pelawat Muhammad Adib Perlu Dipantau – TPM

KUALA LUMPUR: Bilangan pelawat yang mengunjungi Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selasa lalu, perlu dipantau berikutan keadaannya yang mudah terdedah kepada jangkitan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata soal keselamatan anggota bomba itu adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.

“Kita tidak boleh ada terlalu ramai pelawat kerana semua ini pembawa kuman. Dia (Muhammad Adib) tidak boleh lawan (jangkitan) pada masa ini.

“Adib mesti dijaga dengan baik sebab dia dalam keadaan sangat terdedah. Saya pun biasa jadi doktor dulu, memang kena jaga.

“Sebab itu saya rasa penting kita jaga semua ini. Doakanlah, sekurang-kurangnya dengan doa kita, dia beransur pulih,” katanya pada sidang media di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat Muhammad Adib di IJN.

Mengulas keadaan Muhammad Adib, Dr Wan Azizah berkata, keadaannya kini beransur stabil namun masih dalam pemerhatian doktor.

“Paru-paru masih lagi cedera, manakala jantung pula menunjukkan pemulihan yang baik tetapi masih memerlukan mesin sokongan hayat.

“Buah pinggangnya memang menunjukkan kebimbangan dan kehilangan banyak darah,” katanya.

Dalam kejadian 27 November lalu, Muhammad Adib cedera parah selepas dipukul kumpulan perusuh di kuil berkenaan.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya diserang sejurus pasukan bomba dari balai terbabit tiba di lokasi.

Dia yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Mangsa datang ke lokasi bersama beberapa lagi anggota BBP Subang Jaya bagi memadam kebakaran sebuah kenderaan yang dibakar perusuh di luar kuil.

Previous
Next Post »
loading...