loading...

DAP Nafi Biadap Terhadap Raja Melayu

GEORGETOWN: PAS didakwa sengaja memainkan politik kebencian apabila menuduh DAP biadap terhadap raja-raja Melayu dalam isu penerimaan pingat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata DAP menghormati sistem Raja berperlembagaan sepenuhnya, dan isu berkenaan adalah fitnah jahat parti pembangkang.

Bila kita mahu ajar ahli kita supaya mengutamakan kerja dan rakyat, kita pula dituduh biadap terhadap Raja.

“Mereka sengaja guna isu ini untuk menyemai politik kebencian. DAP sentiasa menyokong sistem diraja dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada Sesi Penggulungan di Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Bendahari PAS, Razman Zakaria, menyelar tindakan DAP yang enggan menerima pingat daripada istana sebagai tanda kebiadapan parti itu kepada raja-raja Melayu.

Razman berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah di Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak, malam tadi.

Oktober lalu, Guan Eng membuat teguran secara terbuka kepada beberapa pemimpin DAP yang menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran daripada Melaka serta Sabah.

Ia susulan tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Melaka iaitu ADUN Bandar Hilir merangkap Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew dan Wong Fort Pin (Bemban), yang dianugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk pada sambutan ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Sebelum itu, dua menteri DAP Sabah iaitu Stephen Wong dan Frankie Poon dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.

Previous
Next Post »
loading...