loading...

Kerajaan Tidak Lantik Penyokong Parti Politik Pegang Jawatan Penting – Tun M

LANGKAWI: Kerajaan tidak akan melantik penyokong parti politik tertentu yang tidak mempunyai kelayakan dan kelulusan memegang jawatan penting dalam jabatan atau institusi di bawahnya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, berkata beliau mengetahui ada individu tertentu kecewa kerana tidak diberi jawatan penting demi kepentingan negara yang perlu diutamakan.

“Sekarang kita tentukan pemegang jawatan tertinggi dalam kerajaan terdiri daripada mereka yang terlatih dan cekap. Ada ahli politik tidak cekap dan profesional kita tidak pilih.

“Mereka tiada kelulusan, kecekapan…namun ada hasrat untuk jadi pegawai tertinggi. Kita bimbang mereka tidak menjayakan institusi tapi untuk diri sendiri,” katanya pada Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Bersama Perdana Menteri di sini, malam ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Dr Mahathir berkata, bagi mengembalikan pentadbiran yang baik dan menjamin masa hadapan, kakitangan awam yang terbabit dalam kegiatan salah laku perlu disingkirkan.

“Individu terbabit pula harus sedar nasib mereka ini disebabkan tindakan mereka terdahulu yang tidak menjalankan tugas seperti dikehendaki.

“Selepas lebih enam bulan mengambil alih kerajaan, sistem pentadbiran negara sudah hampir pulih dan negara luar kembali memberi keyakinan kepada kita,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...