KUALA LUMPUR: Persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu menyaksikan penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus meninggalkan pencabarnya Rafizi Ramli dengan kelebihan majoriti 3,992 undi.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Mohamed Azmin memperoleh 60,075 undi berbanding Rafizi yang hanya mendapat 56,083 undi hasil keputusan pemilihan yang dijalankan di 13 negeri setakat ini.
Daripada jumlah itu, enam negeri sudah memuktamadkan keputusan iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Selebihnya adalah negeri yang masih lagi dalam proses memuktamadkan keputusan merangkumi pemilihan fasa satu, dua dan tiga di Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Perak serta Sabah.
Bagi jawatan Naib Presiden yang hanya menyediakan empat slot, Nurul Izzah Anwar meninggalkan jauh 12 pencabarnya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu meraih 67,050 undi, diikuti Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, dengan 52,226 undi; Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar (47,566 undi), manakala bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendapat 42,068 undi.
Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin mendahului dua pencabarnya apabila meraih 14,000 undi setakat ini.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, memperoleh 13,169 undi manakala ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi mendapat 2,982 undi.
ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha pula masih mendahului pencabarnya, Fuziah Salleh bagi merebut jawatan Ketua Wanita PKR selepas meraih 24,179 undi.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri hanya memperoleh 19,662 undi.
Pemilihan di Sarawak akan berlangsung 10 November ini. Ia membabitkan sebanyak 29 cabang dengan tumpuan akan diberikan di Cabang Julau dan Lubok Antu.